Sabak Bernam – Program Jelajah Akademia: Anemia dan Perkembangan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas anjuran Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor dengan kerjasama Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan Jabatan Sains Asas FSK telah berlangsung pada 18 Mei 2024 di Perpustakaan Awam Sabak Bernam, Selangor. Program ini melibatkan 62 orang pelajar dari Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan dan 5 orang pelajar dari Pusat Pengajian Dietetik. Program ini dirangka khusus untuk ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas. Namun, ia juga terbuka kepada orang awam, guru-guru dan pelajar sekolah.
Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa tentang jenis-jenis penyakit kekurangan sel darah merah atau anemia yang terdapat di negara kita. Turut diketengahkan ialah kepentingan intervensi awal melalui penjagaan pemakanan bagi mengelakkan anemia khususnya dalam kalangan kanak-kanak bekeperluan khas.
Antara pengisian program ini adalah ceramah yang disampaikan oleh Dr. Norlida Mohamad Tahir dari Jabatan Patologi, Hospital Selayang dan Encik Nazrul Hadi Ismail dari Pusat Pengajian Dietetik, FSK. Melalui sesi ceramah tersebut, peserta telah didedahkan kepada pelbagai jenis anemia dan intervensi pemakanan yang sesuai bagi menangani anemia dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas. Selain itu, pameran poster dan permainan interaktif turut disediakan oleh pelajar FSK dengan harapan untuk meningkatkan pemahaman para peserta terhadap penyakit anemia.