Puncak Alam – Pusat Pengajian Kejururawatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menjalin kerjasama penting dalam usaha mempertingkatkan taraf pendidikan kejururawatan serta membuka peluang pertukaran pelajar antarabangsa. Dalam rangka kerjasama ini, seramai enam orang pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menjalani latihan internship selama 12 minggu di beberapa unit wad dan klinik serta yang berada di Hospital Al-Sultan Abdullah dan Pusat Pakar Perubatan UiTM Sungai Buloh.
Pada hari pertama di UiTM Puncak Alam, pelajar-pelajar tersebut telah menerima taklimat
menyeluruh daripada Dr. Muhammad Afiq bin Zaki, Pegawai Pengantarabangsaan, dan Dr. Siti
Khuzaimah Ahmad Sharoni, Ketua Pusat Pengajian Kejururawatan. Taklimat tersebut memberikan panduan tentang perjalanan dan pengalaman yang bakal mereka lalui sepanjang tempoh internship di kampus dan hospital-hospital yang terlibat.
Setelah taklimat, pelajar diperkenalkan kepada Penyelia Jururawat yang akan membimbing mereka sepanjang latihan klinikal. Mereka turut dibawa untuk orientasi ke beberapa klinik pakar termasuk Klinik Wanita dan Kanak-kanak, Klinik Oftalmologi dan Otorinolaringologi (ENT), serta Klinik Pediatrik, di mana Ketua Jururawat memberikan penerangan berkaitan operasi klinik serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Latihan klinikal bermula dengan pelajar menjalani pengalaman di Wad Perubatan, Wad
Pembedahan, Dewan Bedah, Jabatan Kecemasan, Pusat Rawatan Harian Onkologi dan Wad Psikiatri di mana mereka terlibat secara langsung dalam pemerhatian dan pelaksanaan prosedur klinikal di bawah bimbingan Instruktor Klinikal. Pengalaman mereka diperkaya lagi dengan pendedahan di Unit Perawatan Rapi Am (ICU) dengan pendedahan kepada teknik-teknik penjagaan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, termasuk penggunaan ventilator dan teknik suctioning tertutup.
Secara keseluruhannya, keenam-enam pelajar berjaya menamatkan latihan internship mereka
dengan cemerlang, mencapai semua objektif klinikal yang ditetapkan. Pengalaman berharga ini
bukan sahaja meningkatkan kompetensi klinikal mereka, tetapi juga memperkukuhkan hubungan akademik antara UiTM dan UBD, yang pastinya akan membawa manfaat jangka panjang kepada
kedua-dua institusi dan para pelajarnya.