Program Intensif Pre-Calculus: Usaha Memantapkan Pemahaman Pelajar

Seri Iskandar,  18 Februari 2025 – Jabatan Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Perak telah menganjurkan Intensive Pre Calculus Program pada 27-28 Januari 2025 bagi membantu pelajar meningkatkan kefahaman mereka terhadap subjek Pre Calculus (MAT133). Program ini melibatkan pelajar semester 1 dan 3 yang mengambil kursus tersebut.

Fokus utama program ini adalah untuk memberi pendedahan mendalam terhadap topik-topik yang mencabar dalam subjek Pre Calculus, seterusnya meningkatkan keyakinan pelajar sebelum menghadapi ujian penilaian akhir semester Oktober 2024 – Februari 2025. Sepanjang program, pelajar diberikan bimbingan secara berstruktur melalui sesi pembelajaran intensif yang dikendalikan oleh Dr. Norshakila binti Abd Rasid. Para peserta diberi peluang untuk mengajukan soalan secara terus kepada pensyarah serta berbincang dalam kumpulan bagi memahami konsep-konsep penting dengan lebih berkesan.

Pelaksanaan program ini mendapat maklum balas positif daripada para pelajar, yang rata-ratanya menyatakan bahawa pendekatan yang digunakan membantu mereka memahami subjek dengan lebih baik. Dengan kejayaan program ini, pihak Jabatan Matematik KPPIM berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan para pelajar bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran akademik mereka.

Menurut Pengarah Program, Dr. Norshakila binti Abd Rasid, “Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kefahaman akademik pelajar, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk membina keyakinan dalam menyampaikan ilmu kepada rakan-rakan. Kaedah ini dapat membantu memperkukuh pemahaman mereka terhadap subjek yang dipelajari.”

UiTM Cawangan Perak terus komited dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan pembelajaran melalui program seperti Intensive Pre Calculus Program, sejajar dengan misi universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

Penulis bersama: Dr Nurul Hafizah Zainal Abidin, Syadatul Syaeda Mat Saleh, Sr Ts Dr Suzanah binti Abdullah