Tapah, 19 Oktober 2024 – Satu Program Intensif Matematik anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) Lumiere 2125 Sekolah Menengah Sains
Tapah (SESTA) bersama Pengajian Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, UiTM Kampus Tapah telah berjaya dilaksanakan bertempat di Sekolah Menengah Sains Tapah. Program ini melibatkan seramai 14 orang pensyarah Matematik, 25 orang pelajar Diploma Sains Matematik dan 167 orang pelajar tingkatan 4 SESTA.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pencapaian akademik pelajar dengan membantu pelajar tingkatan 4 atau lebih dikenali sebagai Lumiere 2125
untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun 2024 dan juga SPM 2025 nanti. Selain itu juga, pelaksanaan program ini dapat mewujudkan kerjasama yang erat di antara pihak
UiTM Kampus Tapah dan SESTA. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh pengetua SESTA, Puan Nor Hashimah Abdul Samat dan Dr. Nurul Hafizah Zainal Abidin selaku Koordinator Program Diploma Sains Matematik, UiTM Kampus Tapah.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar tingkatan 4 telah dibimbing oleh mentor yang terdiri daripada pelajar Semester 4 dan Semester 5 Diploma Sains Matematik, dan juga fasilitator
yang terdiri daripada pensyarah Matematik yang berpengalaman. Secara keseluruhannya, program intensif ini berjaya membantu pelajar menguasai asas Matematik dan membina keyakinan diri untuk menghadapi peperiksaan yang bakal datang. Program Intensif ini juga telah mendapat maklum balas yang positif daripada pelajar tingkatan 4, guru – guru, serta wakil PIBG dan KSIB SESTA. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan secara berkala dan dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk terus cemerlang didalam akademik.
Penulis bersama: Nur Azila Yahya