Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Kelab Business Society FPP UiTM Cawangan Pahang telah melaksanakan Program Infaq Buku bagi Sudut Bacaan Asrama Perempuan SMK Tengku Kudin, Raub pada 23 November 2021. Program ini dianjurkan bagi membantu SMK Tengku Kudin, Raub yang merupakan salah satu daripada sekolah angkat FPP UiTM Pahang untuk menambah bahan bacaan di sudut bacaan asrama perempuan sekolah tersebut. Program ini juga dirancang untuk membuka peluang kepada pensyarah dan pelajar FPP UiTM Pahang untuk melaksanakan kerja-kerja khidmat masyarakat yang memberi impak kepada komuniti setempat.
Melalui program ini, pihak fakulti telah berjaya mengumpulkan sebanyak 8 kotak buku hasil sumbangan dari pensyarah serta pelajar dari FPP UiTM Pahang. Buku yang berjaya dikumpulkan itu terdiri dari buku rujukan bagi SPM dan PT3, novel berbahasa Melayu dan Inggeris, buku keagamaan dan majalah-majalah. Penyerahan sumbangan buku tersebut telah dilaksanakan oleh Dr Hasnizawati Hashim, Ketua Pusat Pengajian FPP UiTM Pahang kepada Puan Habibi Ahmad, Guru Hal Ehwal Murid SMK Tengku Kudin. Dengan sumbangan buku-buku yang disalurkan ini, diharap pelajar-pelajar SMK Tengku Kudin dapat mengambil peluang untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang. Di samping itu, usaha ini juga diharap akan dapat membantu meningkatkan lagi minat membaca di kalangan pelajar sekolah.
Bagi memastikan adanya kesinambungan kerjasama dengan pihak sekolah, FPP UiTM Cawangan Pahang turut merancang untuk mengadakan program menceriakan dan menghias sudut bacaan tersebut pada masa akan datang. bagi Program ini diharap akan dapat menarik minat pelajar di asrama SMK Tengku Kudin untuk mengunjungi sudut bacaan tersebut. Melalui program seperti ini juga, hubungan mesra dan kerjasama yang baik antara warga FPP UiTM Pahang dan SMK Tengku Kudin dapat diteruskan serta dipertingkatkan.