Program “Ihya Ramadhan” anjuran pelajar UiTM Kampus Kuala Pilah

Kuala Pilah , Mei 18, 2019 :   Program “Ihya’ Ramadhan” merupakan sebuah program yang bertemakan aktiviti kemasyarakatan dan kepimpinan serta kerohanian. Ini kerana antara intipati program ini ialah gotong-royong dan berbuka puasa bersama penduduk kampung yang mana ianya melibatkan pembangunan kemasyarakatan.

Selain itu aktiviti solat serta bacaan yassin bersama penduduk kampung pula meliputi aspek pembangunan rohani. Program ini melibatkan 24 orang mahasiswa UiTM yang bermula dari jam 10 pagi dan tamat pada jam 10.30 malam.

Program ini telah berjaya memuatkan aktiviti seperti memasak bubur lambuk, bergotong-royong, mengedar bubur lambuk, berbuka puasa bersama masyarakat dan juga solat terawih berjemaah.

Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan mesra antara mahasiswa UiTM dengan penduduk Kampung Beting, memupuk sifat kepimpinan dan kerjasama di kalangan mahasiswa serta mengukuhkan semangat kerohanian para pelajar sekali gus memberi pendedahan kepada mahasiswa dalam berkomunikasi dan membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunia kerjaya kelak.

Program telah bermula dengan pembahagian para mahasiswa kepada dua kumpulan iaitu kumpulan gotong royong dan memasak bubuk lambuk serta juadah berbuka puasa. Aktiviti gotong royong membersihkan kawasan masjid dilakukan pada waktu pagi manakala aktiviti masak bubur lambuk serta juadah berbuka puasa dilakukan pada sebelah petang.

Aktiviti memasak bubur lambuk berjaya disiapkan dan diedarkan kepada penduduk kampung Beting dan Parit Tinggi manakala juadah berbuka puasa dihidangkan kepada para jemaah masjid. Penasihat Projek ini Ts. Dr. Sheikh Ahmad Izaddin Sheikh Mohd Ghazali berkata,”Program ini dapat melatih para pelajar untuk mengendalikan program serta dapat bergaul dan berbakti kepada masyarakat disekitar kawasan beting ini.

Di samping itu, Pengarah Program Khidmat Masyarakat “Ihya Ramadhan”, Muhammad Ammar Bin Sazeli berkata, melalui program ini, mahasiswa dapat menjalinkan hubungan mesra dan menyemaikan semangat ukhuwah dengan penduduk kampung serta mengajar mahasiswa untuk berkerja secara berkumpulan untuk melaksanakan program ini.

Penghargaan kepada penduduk kampung dan pihak masjid kerana penerimaan menjayakan program ini. Disamping itu, mahasiswa juga dapat menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh semasa melaksanakan program ini untuk diaplikasikan selepas tamat pengajian kelak.

Foto yang menarik:

     

0
0