Program Hari Aduan Fakulti 2021 Fakulti Sains Kesihatan

UiTM Puncak Alam, 10 Jun 2021: Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan sesi 2020/2021 telah mengadakan program Hari Aduan Fakulti 2021, di mana program ini merupakan program tahunan bagi Fakulti Sains Kesihatan sebagai medium kepada mahasiswa untuk menyuarakan masalah yang dihadapi oleh mereka di dalam fakulti. Di samping itu, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyampaikan penyelesaian kepada permasalahan yang sering berbangkit dan seterusnya mampu menambah baik kualiti kemudahan dan fasiliti fakulti yang tersedia ada bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan efektif kepada mahasiswa.

Seramai 102 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan telah terlibat sepanjang program ini berlangsung. Program ini dihadiri oleh 25 orang SMF, 2 orang Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan(MPP FSK) iaitu saudara Mohamad Shahdan Bin Hanafi dan saudara Nuruddin Hamzah Bin Hamzani serta wakil – wakil dari setiap persatuan dalaman. Program ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Microsoft Teams sebagai platform untuk berkumpul bagi menjayakan program ini.

Program ini secara tidak langsung telah bermula pada 17 Mei 2021 dengan sebaran Google Form aduan secara atas talian kepada semua mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan dan berakhir dengan program rasmi Hari Aduan Fakulti 2021 pada 10 Jun 2021. Dalam pengisian program tersebut, sesi penerangan solusi aduan pelajar yang dikumpulkan melalui sebaran Google Form Aduan telah dibentang oleh saudari Nursyamila Binti Mohd Noordin, Timbalan Presiden SMF dan juga saudara Mohamad Shahdan Bin Hanafi serta saudara Nuruddin Hamzah Bin Hamzani, MPP FSK. Seterusnya, para pembentang juga telah mengetuai slot kedua iaitu sesi soal jawab persoalan berbangkit yang diutarakan secara langsung oleh peserta program. Pelaksanaan sesi ini sedikit sebanyak telah membantu dalam menyelesaikan persoalan dan permasalahan yang dialami oleh mahasiswa.

Melalui program Hari Aduan Fakulti 2021 ini juga, para mahasiswa dapat menanam sifat tanggungjawab dalam diri dan amanah dalam melaporkan segala kerosakan dan kekurangan di dalam fakulti kepada saluran yang betul. Secara tidak langsung, ia akan menjadi contoh ikutan kepada masyarakat yang lain dan seterusnya melahirkan generasi yang rasional dan berwibawa dalam memberi hujahan dan kritikan.