Bukit Indera Muda, 19 Jun 2024 – Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Indera Muda di Kubang Semang menjadi saksi pelancaran program “Greenbrick Gardening” yang dianjurkan oleh mahasiswa Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Program ini, yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Maeko Waste Company, dan Zetcom Land Sdn Bhd, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dan kepentingan menjaga alam sekitar melalui pendekatan SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society).
Program ini dirasmikan oleh En. Kamarul, Naib Presiden Persatuan Pembangunan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, dan turut dihadiri oleh Guru Besar SK Bukit Indera Muda, En. Roslan bin Abu Bakar. Program yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang ini dimulakan dengan ucapan perasmian, bacaan doa, dan nyanyian lagu Negaraku serta Negeri Pulau Pinang.
Seramai 70 pelajar tahun lima dan 10 orang guru SK Bukit Indera Muda mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif yang dirangka untuk menarik minat pelajar terhadap isu alam sekitar. Aktiviti utama yang dilaksanakan termasuklah pembuatan ecobrick daripada plastik dan botol terpakai serta pembinaan batas daripada ecobrick untuk bercucuk tanam. Selain itu, pelajar turut diajar cara menggunakan baja dari sisa makanan sebagai usaha meneutralkan karbon melalui pertanian.
Mahasiswa UiTM telah berjaya memindahkan ilmu tentang pentingnya mengurangkan pelepasan karbon kepada para pelajar sekolah melalui aktiviti-aktiviti praktikal ini. Ir. Ts. Mohamed Syazwan bin Osman, pensyarah kursus CEV631 (Leadership & Professional Ethics for Engineers) yang juga penasihat program, menyatakan bahawa program ini bertujuan untuk menyemai sifat ingin tahu dan kesedaran tentang isu alam sekitar dalam kalangan generasi muda. “Perubahan iklim adalah isu kritikal yang perlu ditangani oleh semua pihak. Program seperti ini penting untuk mendidik generasi muda supaya mereka lebih peka dan bertindak dalam menjaga alam sekitar,” katanya.
Selain meningkatkan kesedaran, program ini juga berjaya mengeratkan hubungan antara UiTM Cawangan Pulau Pinang dan masyarakat setempat, terutamanya pihak sekolah. Program ini turut melibatkan penyertaan industri dan NGO melalui sumbangan dan kerjasama daripada rakan strategik seperti Persatuan Pembangunan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Maeko Waste Company, dan Zetcom Land Sdn Bhd. Pendekatan SULAM yang diterapkan dalam program ini memperlihatkan komitmen universiti untuk berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti pendidikan dan pemindahan ilmu yang berimpak tinggi.
Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih banyak inisiatif sebegini dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi terus menyemai semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Program Greenbrick Gardening diakhiri dengan sesi bergambar dan penutup pada jam 5.00 petang.