5 Jun 2024 – Penganjuran Green Genesis: Inspiring Creativity for Environmental Change di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Fajar, Kuala Kubu Bahru, Selangor yang melibatkan seramai 80 murid tahun 1 hingga tahun 6 serta 18 mahasiswa dari Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kolej Kejuruteraan, UiTM Shah Alam telah berganding bahu bagi merealisasikan program ini. Sekolah ini telah dipilih menjadi lokasi program kerana kedudukan sekolah yang berada di kawasan pedalaman negeri Selangor kurang mendapat perhatian mahupun pendedahan awam.
Penasihat program dan juga pensyarah pengiring, Ir Normadyzah Ahmad berkata, pengajuran program SULAM ini memberi peluang kepada mahasiswa mencurahkan bakti kepada masyarakat walaupun hanya berbekalkan sehari suntuk.
“ Saya berasa sangat gembira kerana program ini telah melibatkan komitmen secara langsung dan tidak langsung daripada semua terutamanya para mahasiswa UiTM Shah Alam. Penglibatan mahasiswa di dalam program ini dapat memberikan sumbangan positif dalam menyelesaikan masalah setempat dan berkongsi pengetahuan serta kemahiran yang telah mereka perolehi sewaktu berjalannya sesi perkuliahan “.
“ Semoga dengan demonstrasi dan aktiviti yang menarik yang dianjurkan dapat menggalakkan minat murid-murid SK Seri Fajar terhadap sains dan teknologi disamping mengekalkan kelestarian alam,“ katanya.
Sementara itu, Encik Zulkifli bin Zainudin selaku Guru Besar SK Seri Fajar berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran mahasiswa UiTM Shah Alam bagi penganjuran program di sekolah tersebut.
“ Program seumpama ini amat perlu dijalankan supaya murid-murid kita tidak stres dengan pelajaran akademik sahaja, tetapi mereka juga dapat mempelajari sesuatu yang baharu, luar dari bilik darjah, meneroka perkara-perkara menarik bersama rakan-rakan. Saya yakin murid-murid pasti suka akan segala aktiviti yang akan dijalankan dan saya berharap banyak ilmu yang dapat murid-murid ambil untuk hari ini,” ujarnya.
Beliau juga berharap dengan penganjuran ini akan menjadi pencetus kepada terlahirnya lebih banyak golongan intelek di Malaysia yang mampu mengangkat negara untuk terus maju.
Pengarah program, Ridtwan Shah Hairi berpuas hati kerana segala perancangan dan persediaan sebelum program ini berlangsung telah berjalan dengan lancar. Tambahan lagi, beliau berharap dengan adanya program seperti ini dapat membuatkan murid-murid lebih cenderung untuk mempelajari ilmu STEM sekaligus menambahkan lagi ilmu pengetahuan mereka. Jelas beliau lagi, sambutan daripada murid-murid ini amatlah memberangsangkan walaupon berhadapan dengan cuaca yang agak panas.
Antara aktiviti yang dijalankan semasa program berlangsung adalah senaman ringan (aerobik), penghasilan sabun dari minyak masak terpakai, kemahiran fizik dalam penghasilan bot dan kapal terbang serta kuiz bagi memantapkan pemahaman murid-murid terhadap alam sekitar. Di akhir program, semua murid dapat membawa pulang sabun yang mereka telah hasilkan daripada minyak masak terpakai.