Program Food Bank Siswa kelolaan Sekretariat Food Bank Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah digerakkan semenjak Februari 2019. Program Food Bank Siswa adalah salah satu inisiatif di bawah Program Food Bank Malaysia (PFBM) di mana bantuan turut disalurkan kepada golongan yang memerlukan termasuk pelajar dari golongan B40 terpilih dan mangsa bencana alam seperti banjir dan sebagainya.
Sejak dilaksanakan hingga September 2022, seramai 21,025 siswa telah mendapat manfaat daripada program meliputi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara. UITM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh telah menerima manfaat daripada Inisiatif Program Food Bank Siswa ini. Penghantaran sumbangan di bawah Program Food Bank Siswa oleh telah dilaksanakan pada 7 Disember 2022 oleh pihak KPDNHEP terus ke UiTM Kampus Sungai Buloh.
Salah satu keistimewaan Program Food Bank Siswa ialah kejayaan memupuk semangat kesukarelawan dalam kerja-kerja kebajikan tanpa mengharap balasan. Sukarelawan pelajar mencurahkan bakti tenaga mereka secara sukarela untuk menguruskan makanan kering, membahagikan bahan makanan, barang-barang keperluan diri dan peralatan pembelajaran kepada siswa berkenaan secara teratur dan mengawal inventori supaya bekalan tidak terputus.
Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu para pelajar yang memerlukan. Terima kasih atas kolaborasi daripada Rakan Penyumbang Utama serta Rakan Strategik Utama di bawah Program Food Bank Malaysia yang menjayakan pelaksanaan inisiatif ini.