Bandar Pusat Jengka, 10 November 2022 – Suasana di Bangunan Leucaena UiTM Cawangan Pahang bertukar meriah pada hari ini bersempena program “FOA Market Place”. Kedengaran suara penggerai cuba untuk menarik perhatian pelajar dan staf agar berkunjung ke gerai mereka. Program yang julung kali dianjurkan oleh Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka ini merupakan satu inisiatif pihak fakulti dalam menerapkan nilai keusahawanan dalam kalangan warga kampus terutama pelajar, disamping bertujuan menjana pendapatan fakulti.
Penglibatan ramai pelajar sebagai penggerai menunjukkan minat berniaga telah wujud dalam kalangan pelajar UiTM Kampus Jengka yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Seterusnya ini dilihat mampu membantu dalam menjayakan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 atau DKN 2030 iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawan yang unggul menjelang tahun 2030. Program ini juga secara tidak langsung telah menyuntik semangat dan minat para pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan semasa dalam pengajian. Ia turut dilihat sebagai medium untuk meningkatan kebolehan berkomunikasi, kreativiti dan kepimpinan pelajar dengan cara yang santai.
Program FOA Market Place yang bermula pada pukul 8 pagi ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd. Ilham Bin Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang. Setelah selesai acara perasmian, Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Binti Ramli, Timbalan Rektor HEA, En. Mohammad Khair Bin Mohd Seni, Timbalan Pendaftar dan Dr. Mohamad Azmi Bin Nias Ahmad, KPP Perakaunan mengiringi Rektor untuk melawat gerai-gerai. Secara ringkas, program ini telah disertai oleh 23 penggerai yang terdiri daripada pelajar, persatuan pelajar dan staf. Pelbagai jenis barangan diperniagakan termasuk aneka jenis makanan dan minuman, buahan-buahan dan bunga-bungaan. Malah, pakaian serta buku turut dijadikan barang jualan digerai.
Program yang telah mendapat sambutan luar biasa dari seluruh warga kampus ini turut membantu UiTM mencapai impian Matlamat Pembangunan Lestari ke 8 (SDG 8) iaitu pembangunan ekonomi dan keusahawanan. Program ini juga merupakan satu ikhtiar untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar. Secara tidak langsung, pelajar berpeluang untuk meneroka pasaran yang lebih kompetitif dalam kampus serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi pelajar itu sendiri. Ini seiring dengan DKN 2030 yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawan yang unggul menjelang tahun 2030. Semoga lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang dalam mendukung hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berkemahiran tinggi dan berdaya tahan.