Program empowerNCER-Akademik Bantu Pelajar

SHAH ALAM – Program empowerNCER-Akademik terbukti berjaya menjadi pemangkin kecemerlangan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021. Program yang dilaksanakan di Kedah dan Perlis itu telah membantu pelajar menerusi penekanan komponen akademik dan kecekapan kemahiran.

Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam diberi mandat oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk melaksanakan program itu di enam kawasan bagi pakej satu, dan tujuh kawasan bagi pakej dua dengan kerjasama Yayasan PETRONAS.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis berkata, “Melalui penajaan program empowerNCER-Akademik, pelajar golongan B40 diberi pendidikan intensif dan bersepadu sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 2,600 pelajar telah berpeluang memperoleh manfaat daripada program itu. Keputusan SPM 2021 pada Khamis lepas membuktikan program itu berjaya membantu pelajar golongan B40 di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, program empowerNCER-Akademik bertujuan menyahut seruan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan. “Melalui Pendidikan, anak-anak ini mampu mengubah hidup Keluarga Malaysia dan membangunkan sosioekonomi kalangan B40,” katanya.

Pelajar terbaik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar, Baling, Kedah, Musliha Khalid memperolehi keputusan 8A dalam SPM 2021. Katanya, kelas bimbingan percuma itu banyak membantu beliau untuk lebih bersedia menghadapi peperiksaan. “Ibu bapa saya sangat berbangga dengan keputusan yang saya perolehi ini,” ujarnya.

Di Perlis, Bryan Pang Jin Seng dari Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Perlis mendapat keputusan cemerlang 10A.