Program empowerNCER Akademik 2021: Program Ukhuwah Ramadan

Bulan Ramadan pada kali ini dimeriahkan dengan Program Ukhuwah Ramadan dibawah Program empowerNCER Akademik 2021 yang diadakan secara bersemuka setelah dua tahun dilanda dengan wabak Covid-19. Program ini telah berjalan dengan lancarnya di UiTM Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani pada 17 dan 18 April 2022 dan UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau pada 21 dan 22 April 2022. Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan dan galakan kepada pelajar empowerNCER dalam kehidupan sebagai Mahasiswa serta memupuk semangat untuk meneruskan pelajaran ke Institut Pendidikan Tinggi.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para pelajar dan staf yang terlibat untuk merapatkan hubungan sillaturrahim dengan sama berbuka puasa. Seramai 647 pelajar yang hadir ke UiTM Kampus Sungai Petani manakala 53 pelajar hadir ke UiTM Kampus Arau.

Turut hadir adalah Ketua Bahagian operasi Yayasan PETRONAS, Yang Mulia Tengku Noraida Tengku Mahmood, Penolong Pengurus Besar Modal Insan Kedah & Perlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Encik Fauzan Bin Ismail dan Pengarah Jabatan Projek Khas dan Pembangunan Perniagaan iCEPS, Puan Shira Haniza Binti Yaakop.

Rektor UiTM Cawangan Kedah Kampus Sungai Petani, Prof. Dr. Mohamad Abdullah Hemdi dan Rektor UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim bin Mohd Fauzi juga hadir bagi merasmikan program tersebut. Seterusnya, diadakan sesi penerangan bagi memberi pilihan dan galakan kepada para pelajar yang baru sahaja selesai menjawab peperiksaan SPM 2021 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Aktiviti lawatan kampus turut dilaksanakan dengan bantuan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kampus Sungai Petani dan UiTM Kampus Arau bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai suasana di Universiti serta melihat kemudahan dan fasiliti yang disediakan.