Program empower Community Connect (eCC) Mengeratkan Silaturahim antara Ibu Bapa dan Komuniti

ALOR SETAR – Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama pihak Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM telah mengadakan Program empower Community Connect (eCC) di bawah Projek empowerNCER-Akademik 2022 bersama para ibu bapa bagi pelajar tingkatan lima. Program ini telah bermula pada 24 September 2022 di 24 buah sekolah daripada lima (5) kawasan di negeri Kedah iaitu Pokok Sena, Padang Terap, Kubang Pasu, Kulim dan Bandar Baharu.

Program eCC merupakan sebuah program yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara ibu bapa pelajar empowerNCER-Akademik dengan pegawai-pegawai yang terlibat. Di kala keadaan negara yang sedang beralih ke Fasa Endemik dan ekonomi yang mencabar, pastinya ada keluarga yang terkesan. Oleh itu, bakul sumbangan berupa barangan runcit dan keperluan harian juga turut diagihkan kepada semua ibu bapa yang hadir bagi meringankan beban mereka dalam menampung keperluan harian keluarga.

“Aktiviti ini juga dapat memupuk perasaan bertimbang rasa dan keprihatinan terhadap komuniti setempat. Selain itu juga, ibu bapa diberi pendedahan tentang hala tuju anak-anak selepas menduduki SPM sebagai persediaan untuk mereka dalam melangkah ke fasa yang seterusnya iaitu menjadi mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT),” ujar Ketua Eksekutif NCIA, Encik Mohamad Haris Kader Sultan.

Pengenalan kepada Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang amat bersesuaian dengan kriteria pelajar yang terlibat di dalam Program empowerNCER-Akademik ini untuk mereka meneruskan pengajian di Universiti Awam. Langkah permulaan ini pastinya akan memberi peluang dan harapan yang lebih besar kepada para pelajar untuk melangkah dengan lebih jauh di masa akan datang. Secara tidak langsung ia selari dengan objektif utama program ini untuk membasmi kemiskinan melalui pendidikan.

Sejak program ini dilaksanakan bermula 2019, peratus kelulusan yang dicapai amat membanggakan iaitu 97.7% pada tahun 2020 dan 93.9% pada tahun 2021 dengan 82% pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), program teknikal, latihan kemahiran serta lain-lain lagi.

Pengetua SMK Lubok Merbau, Encik Muhammad Asri bin Said mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan NCIA di atas jalinan kerjasama dalam melaksanakan Program empowerNCER-Akademik dan berharap program ini akan memberi impak yang besar dalam kemenjadian pelajar dengan sokongan padu daripada ibu bapa mereka. Dengan kerjasama daripada semua pihak diharapkan program sebegini mampu mengeratkan hubungan di antara badan perlaksana dan komuniti setempat, seterusnya dapat memberikan sedikit keceriaan kepada setiap keluarga yang terlibat.