19 – 21 Mei 2022 : Bengkel Penulisan Program Emerging Research Leader Series siri 1 2022 telah diadakan di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Bandar Enstek pada 19-21 Mei 2022. Bengkel 3 hari 2 malam ini telah berjaya menghimpunkan pensyarah-pensyarah dari gugusan Sains dan Teknologi.
Matlamat program ERLS diadakan adalah bertujuan untuk meningkatkan bilangan penerbitan oleh pensyarah UiTM. Pengajuran bengkel secara bersemuka kali pertama selepas era pandemik telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Siri pertama ini telah disertai oleh 28 orang pensyarah dari berbagai fakulti di bawah gugusan Sains dan Teknologi dan dibantu oleh 2 orang pembaca pruf (proof reader) dari Akademi Pengajian Bahasa. Seorang penceramah juga telah dijemput untuk memberi pencerahan dan berkongsi tip untuk menerbitkan manuskrip dalam jurnal berimpak tinggi. Beliau merupakan seorang penulis prolifik dari Universiti Malaysia Pahang iaitu Profesor Dr Wan Azmi bin Wan Hamzah. Sesi ceramah ini juga telah dikendalikan secara streaming dalam youtube untuk manfaat semua warga UiTM.
Di akhir program, semua peserta perlu menghantar manuskrip masing-masing ke jurnal berindek WoS atau Scopus. Untuk siri 1 ini, seramai 17 peserta (60%) telah berjaya menghantar manuskrip mereka, manakala yang selebihnya akan membuat penghantaran dalam minggu ini setelah mendapat maklumbalas dari pembaca pruf.
Siri seterusnya akan diadakan pada 27-29 Mei 2022 khusus bagi pensyarah dari gugusan Sains Sosial. Hampir 50 peserta telah mendaftar untuk terlibat pada program tersebut. Sebanyak 4 lagi bengkel penerbitan telah dijadualkan untuk sepanjang tahun ini, 2 untuk Sains Teknologi dan 2 untuk Sains Sosial. Semua pensyarah digesa untuk mendaftar dengan kadar segera bila bengkel ini ditawarkan kelak kerana sambutan amat menggalakkan dan tempat adalah terhad. Syarat utama adalah semua peserta mesti memberi bukti manuskrip adalah hampir siap dan dapat di hantar pada hari akhir bengkel tersebut.
Program ini dijangka akan berjaya mempertingkatkan bilangan penerbitan UiTM dan memberi impak kepada skor MyRA dan ranking UiTM.