22 Ogos 2024 – Telah berlangsung “Program De-Stress Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT)” anjuran Biro Kebajikan, Pusat Pengajian Pengurusan dan Teknologi (PPPT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang di sekitar Kolej Tun Teja dan telah dirasmikan oleh Encik Mohd Azizul Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada semua staf beriadah secara santai dan sebagai terapi minda untuk terus kekal bersemangat ketika bekerja. Pada masa yang sama, program ini turut diadakan untuk meraikan sambutan hari kelahiran staf bagi bulan Mei hingga Ogos 2024 dan juga bagi meraikan perpisahan dua orang staf akademik PPPT iaitu Dr. Siti Fazilah Hamid serta Puan Norlaili Haji Harun yang akan berpindah ke UiTM Selangor Kampus Puncak Alam bermula September 2024.
Bertemakan “Fun in the Sun”, program De-stress telah dimulakan dengan aktiviti permainan di luar dewan. Pihak penganjur telah menyediakan beberapa aktiviti menarik, antaranya membaling belon berisi air tanpa pecah, mengisi air dalam botol, dan menyusun teka-teki yang merupakan aktiviti menguji minda dan kerjasama sesama ahli pasukan. Aktiviti permainan secara santai ini bukan sahaja berjaya menghilangkan rasa stres, bahkan aktiviti ini turut menjadi medium mengeratkan hubungan sesama staf setelah sekian lama tidak bersua atas kekangan tugasan hakiki masing-masing.
Seterusnya, setelah selesai aktiviti riadah di luar, majlis diteruskan dengan acara Majlis Perpisahan yang dimulakan dengan ucapan perpisahan oleh Encik Mohd Azizul Sulaiman selaku Ketua Pusat Pengajian mewakili seluruh staf akademik PPPT. Majlis diteruskan dengan tayangan video montaj yang mengimbau kembali perjalanan Dr. Siti Fazilah Hamid serta Puan Norlaili Haji Harun sebagai pensyarah di UiTM Cawangan Pahang. Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan perkhidmatan mereka, PPPT telah turut menyampaikan cenderahati sebagai tanda kenangan dan ucapan terima kasih untuk bakti dan sumbangan yang telah diberi untuk menaikkan nama PPPT menerusi pencapaian PI dan SDG. Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah untuk staf yang menyambut hari kelahiran daripada bulan Mei sehingga bulan Ogos. Selain itu, majlis turut menyampaikan sumbangan kelahiran bayi serta sumbangan musibah kepada kepada rakan-rakan pensyarah yang berkaitan sebagai tanda sokongan dan keperihatinan pihak PPPT terhadap kebajikan staf dan supaya yang ditimpa musibah terus kuat untuk terus bersabar atas ujian yang dihadapi.
Tidak dilupakan juga, pihak PPPT turut mengalu-alukan kedatangan staf PPPT yang baru iaitu Encik Muhammad Hafiz Suhaimi yang baru sahaja dilantik sebagai pensyarah tetap pada 16 Julai 2024 yang lalu. Semoga dengan kehadiran Encik Muhammad Hafiz Suhaimi dapat membantu menaikkan kecemerlangan PPPT pada masa hadapan. Secara tuntasnya, anjuran program seperti ini memberi manfaat yang sangat besar kepada staf PPPT kerana selain dari menyahut seruan pihak pengurusan tertinggi UiTM untuk kekal sihat dengan aktiviti fizikal, program ini turut dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama staf PPPT dan sebagai salah satu cara untuk menghargai segala jasa dan komitmen yang telah dicurahkan untuk melonjakkan kecemerlangan PPPT. Walaupun majlis diadakan secara ringkas, objektif dan juga tujuan program telah dicapai dengan jayanya.
Penulis bersama: Noorsuraya Mohd Mokhtar, Rohana Johan, Mohd. Azizul Sulaiman, Norfarhana Mohd Azmi, Mastura Mohamad, Nur Hidayah Ayob, Muhammed Soffiq Saripin,