KEPALA BATAS, PULAU PINANG: Sebagai salah satu usaha untuk melibatkan diri dan menyumbang kepada komuniti setempat, pelajar-pelajar kelab Jawatankuasa Perwakilan Kolej Al-Zahrawi UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam, telah mengambil inisiatif melaksanakan program “Dari Hati ke Hati”, iaitu program khidmat masyarakat yang telah berlangsung pada 17 Jun 2023.
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk melahirkan generasi muda dengan keperibadian yang mulia dan prihatin dengan nasib golongan yang kurang bernasib baik, selain mencapai matlamat utama universiti dalam memastikan keterlibatan pelajar dalam program kesukarelawan yang berkaitan kesejahteraan emosi (PI028).
Gerak kerja program untuk menjana dan mengutip sumbangan telah bermula sejak dari 26 Mei 2023 dan berterusan sehingga berlangsungnya hari perlaksanaan aktiviti dan penglibatan aktif pelajar-pelajar kelab JPK meraikan anak-anak yatim dan asnaf daripada Pusat Jagaan Permata Kasih Mengkuang. Lokasi perlaksanaan program yang bertempat di Setia Fontaines Heritage Park di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang merupakan pemilihan yang tepat kerana keindahan taman dan persekitarannya telah turut mempengaruhi keceriaan dan kemeriahan aktiviti di sepanjang tempoh berlangsungnya program ini.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sebelum dan semasa program ini berlangsung, antaranya adalah aktiviti penjualan makanan bagi mengumpul dana sumbangan, senamrobik, origami, ‘charades’, dan membaca buku kanak-kanak berkenaan penggunaan ubat melalui aktiviti ‘listen to me’ yang dilakukan bersama anak-anak Pusat Jagaan Permata Kasih Mengkuang dengan bantuan pelajar-pelajar kelab JPK selaku fasilitator.
Sejumlah RM2,464.00 telah berjaya dikumpulkan oleh kelab JPK hasil sumbangan orang ramai dan juga hasil penjanaan daripada aktiviti keusahawanan yang dilaksanakan oleh kelab JPK. Wang sumbangan ini diserahkan oleh wakil pengurusan UiTMCPP Kampus Bertam, iaitu Pn Norhafidzah Mahdzir selaku Penolong Pendaftar Kanan kepada wakil Pengerusi Pusat Jagaan Permata Kasih Mengkuang, iaitu Puan Hafizah Abdul Hamid. Selain daripada sumbangan wang ringgit, beberapa individu persendirian juga telah bermurah hati menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan dapur dan permainan kanak-kanak untuk kegunaan anak-anak yatim dan asnaf di pusat jagaan ini.
Hasil perlaksanaan program ini, dapat disimpulkan bahawa penyertaan mahasiswa dalam program khidmat masyarakat bukan sahaja dapat memperkasakan kemahiran insaniah tetapi turut memperkukuhkan lagi penghayatan mereka terhadap aspek kemahiran bersosial, perkongsian ilmu dan kemahiran, serta menjadi wakil universiti di kalangan komuniti setempat.