Program CSR MBSA-PLUS-UiTM Sempena Hari Komuniti MyPLUS 2024: Memperkasakan Komuniti Selamat dan Lestari

Shah Alam, 14 November 2024 – Program Corporate Social Responsibility (CSR) yang melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), PLUS Malaysia Berhad (PLUS), dan Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM telah diadakan di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam, sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Komuniti MyPLUS 2024. Bertemakan ‘Memperkasakan Komuniti Selamat dan Lestari’, program ini memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar dan penglibatan aktif komuniti dalam menjadikan persekitaran lebih hijau dan sihat.

Program penanaman pokok yang turut menyokong inisiatif ‘Shah Alam Trees for Life’ ini bukan sahaja memperlihatkan semangat kerjasama antara pelbagai pihak, tetapi juga mencerminkan komitmen Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam usaha menjadikan kampusnya lebih lestari. Sebagai salah satu institusi pendidikan utama di negara ini, UiTM, melalui UiTM Green Centre (UGC), telah mengorak langkah besar dalam mewujudkan kampus hijau dengan tumpuan kepada enam kluster utama: Setting and Infrastructure, Waste, Water, Energy and Climate Change, Education and Research, dan Transportation.

Program CSR ini menjadi platform yang selaras dengan visi UGC untuk meningkatkan kesedaran tentang kelestarian dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam inisiatif hijau. Sebanyak 5 staf dan 20 pelajar UiTM telah menyumbang tenaga mereka sebagai sukarelawan dalam penanaman pokok, bersama-sama dengan staf PLUS, MBSA, serta wakil penduduk MPP Zon 3 Shah Alam. Langkah ini bukan sahaja menyokong program penanaman pokok sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menangani perubahan iklim, tetapi juga mengukuhkan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang kelestarian alam sekitar yang menjadi teras UiTM Green Centre.

Melalui kerjasama ini, UiTM menunjukkan bahawa komitmen terhadap kelestarian bukan hanya terhad kepada inisiatif di dalam kampus, tetapi turut melibatkan kerjasama dengan pihak luar untuk memberi impak positif yang lebih meluas. Terima kasih kepada PLUS dan MBSA atas sokongan mereka, dan semoga usaha bersama ini terus memperkasa komuniti Shah Alam serta memberi manfaat kepada generasi masa depan. Program seperti ini memperkukuh lagi langkah UiTM dalam menjadi peneraju kepada kampus yang hijau dan lestari, seiring dengan komitmen UGC untuk memajukan pendidikan dan penyelidikan dalam usaha menghadapi cabaran perubahan iklim dan meningkatkan kelestarian global.

Penulis: Haslinda Md Isa