ALOR GAJAH, 1 DISEMBER2024 – Satu Program Combat Legion Championship 2.0 di bawah anjuran dan kolaborasi bersama di antara Kolej Lekir dan Kolej Tun Puteri bertempat di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah telah berjaya dilaksanakan baru-baru ini. Sejumlah 250 orang peserta secara atas talian serta 24 orang peserta secara bersemuka menyertai pertandingan Esport Mobile Legends Bang Bang.
Di bawah pemantauan dan seliaan oleh Encik Mohd Tarmizi Ibrahim selaku Staf Residen Kolej (SRK) Kolej Lekir dan Dr. Mohamad Hafifi Jamri selaku SRK Kolej Tun Puteri, program ini telah diketuai oleh saudara Zafran Mikhail Bin Zakaria selaku Ketua Projek (Pelajar). Sejumlah 20 vendor luar memberikan sokongan dan menyertai program ini.
Dari segi tempoh pelaksanaan pertandingan, ia telah bermula secara atas talian seawal 25 November 2024 hingga 28 November 2024 sebagai tempoh peringkat saringan kelayakan. Manakala, tarikh 1 Disember 2024 menjadi acara kemucak pertandingan ini dalam pertandingan akhir yang menarik perhatian sejumlah 400 orang pengunjung.
Juara pertandingan ini dimenangi oleh Pasukan Rare Bois yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM375 Merchandise Team Haq serta 2000 Diamond yang ditaja oleh Moonton Student Leader. Pasukan Unity Farm muncul sebagai Naib Juara yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM225 dan 1500 Diamond yang ditaja oleh Moonton Student Leader. Tempat Ketiga pula diraih oleh Pasukan Itik Masak Lomak yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM150 dan 1000 Diamond yang ditaja oleh Moonton Student Leader.
Memetik kenyataan Dr. Mohamad Hafifi Jamri selaku Penasihat Bersama bagi program ini, beliau merujuk bahawa pelaksanaan siri kedua program ini mencerminkan satu sambutan yang begitu baik dalam kalangan peserta.
Program seperti ini ternyata memberikan impak yang begitu besar kepada para peserta di samping menonjolkan keseronokan dalam pertandingan seperti ini yang menjadi persaingan sihat dalam kalangan para peserta. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan lagi di masa akan datang yang berpotensi menjadi platform pencarian bakat-bakat baharu pelajar dalam permainan seperti eSport yang kian meningkat naik pada hari ini.
Penulis: Dr. Mohamad Hafifi Jamri dan Encik Mohd Tarmizi Ibrahim