Program Collaborative Teaching OBM350: Workplace Safety & Security

Jengka, 24 Disember 2024 – Program “Collaborative Teaching OBM350: Workplace Safety & Security telah berjaya dianjurkan oleh Jawatankuasa OBM350, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

Program ini bertujuan mengoptimumkan sumber kepakaran industri dalam penyampaian maklumat, meningkatkan kefahaman pelajar mengenai isu dan cabaran dalam industri pengurusan, serta menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Sebanyak 227 pelajar diploma semester lima daripada program BA132 yang mengambil subjek Organizational Management Practices (OBM350) terlibat dalam program ini.

Program ini turut memberi impak signifikan terhadap beberapa SDG, antaranya SDG 4 (Quality Education) melalui pembelajaran inklusif dan berkualiti, SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dengan menjamin peluang pendidikan yang saksama, serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) dengan membina hubungan kerjasama antara pelbagai pihak dalam sektor pendidikan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Mohd Azizul bin Sulaiman, Ketua Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Program ini turut menampilkan penceramah jemputan, Encik Muhammad Taufiq bin Khairul Anuar, seorang alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang kini bertugas sebagai HSE Inspector di Hyundai Engineering Co Ltd. Beliau, yang juga pernah menyandang jawatan Presiden OMSA pada tahun 2013/2014, berkongsi pengalaman berharga berkaitan isu keselamatan dan persekitaran di tempat kerja dengan memberikan kefahaman yang mendalam kepada para pelajar berkenaan topik tersebut.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak pusat pengajian dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka atas sokongan yang diberikan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Penulis bersama: Mohd Azizul bin Sulaiman, Nur Hidayah binti Ayob, Zaidatul Nadhirah binti Roslan