Shah Alam, 7 Disember 2023 – Dalam kolaborasi pengenalan budaya, Persatuan Bahasa Mandarin Akademi Pengajian Bahasa bersama Syarikat Taetea (Malaysia) Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Chinese Tea Experience 2023. Seramai 56 peserta hadir memeriahkan program ini.
Peserta telah diberi teh Pu’er yang disediakan oleh penganjur bersama, Syarikat Taetea Malaysia Sdn. Bhd. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Muhammad Zaidi Zakaria, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, APB dan dirasmikan oleh Puan Noor Afzan Zakaria, Timbalan Pendaftar Pusat Kegiatan Pelajar UiTM. Turut hadir, Encik Huang, Pengurus Besar Syarikat TaeTea Malaysia Sdn. Bhd, Cik Chan Jie Yan, penasihat Persatuan Bahasa Mandarin, pensyarah Unit Bahasa Mandarin dan pelajar-pelajar APB.
Wakil dari Syarikat TaeTea Malaysia Sdn. Bhd, Cik Adlina Azman telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Teh Cina”. Beliau juga telah memberikan penerangan dan demonstrasi kepada para peserta tentang cara membancuh teh Cina yang betul. Tradisi minum teh dalam masyarakat Cina tidak hanya menjadi rutin harian tetapi juga satu cara yang sangat berkesan untuk memahami kepelbagaian budaya serta keunikan setiap komuniti.
Penganjuran program ini adalah penting sebagai salah satu medium perkongsian ilmu, kepakaran, dan pertukaran budaya yang kemudiannya mampu meningkatkan perkembangan profesional dan kerjasama di antara UiTM dan Syarikat TaeTea Malaysia Sdn. Bhd. di masa hadapan.