Program “ChemExplore: Jabatan Kimia Malaysia” Cetus Minat Pelajar di Dalam Bidang Kimia

Petaling Jaya, 13 Februari 2025 – Persatuan Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kimia dan Pengurusan (AS222), Chemistry Student Association (CHEMSA), telah menganjurkan program ChemExplore: Jabatan Kimia Malaysia, yang merupakan lawatan sambil belajar ke ibu pejabat Jabatan Kimia Malaysia (JKM) di Petaling Jaya, Selangor pada 8 Januari 2025. Seramai 36 pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kimia dan Pengurusan (AS222) dari UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, bersama dua pensyarah pengiring, telah turut serta dalam lawatan ini.

Lawatan yang bermula pada jam 9 pagi hingga 2 petang ini melibatkan semua unit yang beroperasi di Jabatan Kimia Malaysia cawangan Petaling Jaya. Program dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Encik Mohd Amir Husna bin Nik Ali @ Zulkifli, seorang ahli kimia dari Pusat Analisis Sains Forensik. Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan langsung kepada pelajar tentang peranan Jabatan Kimia Malaysia dan kaitannya dengan bidang kimia dalam proses kerja di JKM.

Pelajar diberi peluang untuk memahami fungsi utama setiap unit di JKM melalui sesi pameran yang diadakan. Mereka juga didedahkan kepada inovasi, teknologi, serta peralatan dan instrumen terkini yang digunakan dalam analisis bahan. Sesi ini memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana JKM menyumbang kepada keselamatan, perlindungan alam sekitar, dan kemajuan teknologi kimia di Malaysia.

Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk lebih memahami peranan Jabatan Kimia Malaysia serta peluang kerjaya dalam bidang kimia, sekaligus membina kemahiran yang relevan untuk masa depan.

Penulis: Dr. Zati Ismah Ishak, Syuhada Mohd Tahir & Dr. Sabarina Md Yunus.