Program BYOC2.0@Tapah Campus: Ke Arah Kampus Lestari

TAPAH, 31 Disember 2024 – Unit 2 (Green Office) Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah menganjurkan program Bring Your Own Container atau dikenali
sebagai “BYOC2.0@Tapah Campus” sempena bulan inovasi bagi tahun 2024. Program ini berlangsung pada setiap hari selasa, selama tiga bulan iaitu dari bulan Oktober sehingga bulan
Disember 2024.

Objektif utama program ini adalah mengurangkan pembuangan sampah, memupuk kesedaran warga kampus terhadap konsep gaya hidup lestari, dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Program ini melibatkan warga UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah yang berminat menjadi peserta program dengan cara membawa sendiri
bekas makanan dan minuman mesra alam, memuatnaik gambar dan mengisi borang melalui Google Form.

Program ini merupakan salah satu usaha bagi mencapai PI 107 (Recycle 3R) dan PI 108 (Reduce Plastic and Paper Usage). Setelah tiga bulan berlangsung, program “BYOC2.0@Tapah
Campus” telah berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap amalan lestari. Tiga orang pemenang bulanan telah diumumkan melalui email pada
31 Disember 2024. Para peserta dan pemenang bulanan turut menerima hadiah istimewa yang diberikan secara bersemuka pada 2-3 Januari 2025 oleh jawatankuasa program sebagai tanda
terima kasih menyokong program “BYOC2.0@Tapah Campus” ini.

Dengan penglibatan aktif peserta, program ini membuktikan bahawa langkah kecil seperti membawa sendiri bekas makanan dan minuman yang mesra alam mampu memberikan
impak besar terhadap pengurangan sisa dan penggunaan plastik. Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada semua pihak yang telah menyokong dan menyemarakkan program ini.
Diharapkan program ini menjadi asas kukuh bagi pelaksanaan pengurangan plastik sekaliguna dan galakan membawa bekas makanan sendiri di Universiti Teknologi MARA seperti termaktub
dalam Pekeliling Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Bil 3 Tahun 2024 khususnya.

Penulis bersama: Nurul Aimi binti Zakaria, Yanti binti Yaacob dan Wan Nurul Fatihah binti Wan Ismail