3 November 2024 – Program Bubble Fun Run 2024 anjuran Association of Bachelor of Accountancy Students (ABACCS) dari Fakulti Perakaunan UiTM telah berlangsung dengan penuh meriah di Kampus UiTM Cawangan Selangor. Acara larian sejauh 2.5 kilometer ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 1,200 pelajar dari pelbagai Fakulti dan Kolej Pengajian di UiTM Cawangan Selangor, mencerminkan minat tinggi dalam aktiviti fizikal dalam kalangan mahasiswa kampus. Selain sebagai platform rekreasi, program ini bertujuan untuk memupuk gaya hidup aktif dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan budaya bersukan dalam kehidupan seharian.
Program ini dirasmikan oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, yang hadir memberi sokongan dan inspirasi kepada para peserta. Beliau diiringi oleh YBrs. Profesor Dr. Haslinda Yusoff, Dekan Fakulti Perakaunan, YBrs. Profesor Madya Dr. Aida Hazlin Ismail, Timbalan Dekan HEP Fakulti Perakaunan dan Encik Muhammad Izzuan Bin Roslan, Pengurus Pembangunan Perniagaan dari Certified Practising Accountant (CPA) Australia. Kehadiran barisan pengurusan ini menggambarkan sokongan padu pihak pengurusan terhadap aktiviti kokurikulum dan pembangunan holistik pelajar.
Aktiviti larian ini bukan sahaja mencipta suasana yang ceria dan menghiburkan melalui tema “Bubble Fun Run”, tetapi turut menggalakkan semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan pelajar. Aktiviti ini berjaya mempereratkan hubungan antara pelajar dan tenaga pengajar serta memperkukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan warga kampus.
Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk terus menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam kegiatan yang menyihatkan tubuh badan dan minda. Inisiatif ini selari dengan visi UiTM untuk membentuk graduan yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dalam aspek kesihatan dan kemahiran sosial.