22 April 2021- Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu program Book of Sirah yang saban tahun diadakan. Program ini menggunakan platform Microsoft Teams dan diadakan pada 22 April 2021 pada jam 2.30 petang. Program ini merupakan program yang dijalankan sempena bulan Ramadan bagi meraikan bulan mulia dan penuh barakhah. Tujuan program ini diadakan adalah untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai keseimbangan dari segi lahiriah dan rohani. Selain itu, tujuan program ini juga adalah untuk memupuk semangat cinta akan Rasulullah SAW dalam kalangan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan. Seramai 89 orang mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan yang terdiri daripada 10 orang wakil dari setiap persatuan dan 5 orang wakil dari persatuan LENSA.
Dalam pengisian program Book of Sirah ini, penceramah telah menerangkan tentang kelebihan apabila kita menjadikan Al-Quran sebagai sahabat dalam kehidupan serta perkongsian mengenai sejarah Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Beliau juga telah menerangkan mengenai hikmah berpuasa dan perbezaan antara puasa ibadah dengan puasa adat. Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhamad Azlan Bin Md Aris dari Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Kampus Puncak Perdana.
Melalui program Book of Sirah ini juga, para mahasiswa telah mendapat banyak pengetahuan baru mengenai ganjaran kepada individu yang memartabatkan Al-Quran dalam kehidupannya terutama pada bulan Ramadhan. Malah, mahasiswa juga dapat mengambil ikhtibar daripada peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan untuk dipraktikkan di dalam kehidupan.
Dengan adanya program seperti ini, terbukti bahawa kita dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai pengetahuan tentang fadhilat Al-Quran serta sejarah Islam yang berlaku sepanjang bulan Ramadan. Oleh itu, program ini hendaklah diteruskan agar dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai tahap rohani yang tinggi sejajar dengan lahiriah.