8 Jun 2024 – Telah berlangsung Program “Bond with Love” anjuran kumpulan pelajar BA1325A yang merupakan pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang. Program yang melibatkan seramai 30 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah, Temerloh ini telah diuruskan oleh seramai 38 orang penganjur termasuk sukarelawan serta dipantau oleh Encik Muhammad Hafiz bin Suhaimi, selaku Pensyarah Penasihat Program. Selain daripada memenuhi keperluan kod kursus Pengurusan Acara (OBM310) yang wajib diambil oleh semua pelajar Semester 5, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA132), program ini turut dianjurkan sebagai salah satu platform untuk mahasiswa UiTM mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari di dalam bidang pengajian mereka serta memberi peluang kepada para mahasiswa, secara amnya untuk berinteraksi serta berhubung dengan masyarakat luar melalui aktiviti berkonsepkan kemasyarakatan dan kesukarelawanan.
Program yang telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Azizul bin Sulaiman selaku Ketua Pusat Pengajian, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang ini telah menyaksikan pihak penganjur melaksanakan beberapa aktiviti bersama-sama pihak pengurusan Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah seperti aktiviti gotong-royong mengecat mural dua hari sebelum program berlangsung di kawasan bangunan pertubuhan. Aktiviti ‘Explorace’ yang berkaitan dengan silibus kod kursus OBM102 (Document Processing) telah menyaksikan peserta belajar suatu kemahiran baru iaitu “Typing Skill” yang boleh digunakan untuk membantu mereka di dalam menyiapkan tugasan pembelajaran sekolah mereka dan sekaligus mencapai Sustainable Development Goals (SDG 11), Sustainable Cities and Communities di mana program ini telah meningkatkan pendedahan tentang pembelajaran serta aktiviti sosial kepada peserta dan penganjur. Performance Indicator (PI) UiTM iaitu PI 28, Number of students’ activities related to community-based service learning dan PI 38, Number of students participate in career activities turut berjaya dicapai dengan penganjuran program ini. Selain daripada itu, aktiviti mewarna serta sukaneka turut diadakan bersama-sama anak-anak yatim ini pada hari program berlangsung bagi memberi sedikit kegembiraan kepada mereka serta menunjukkan bahawa masih ramai lagi masyarakat di luar sana yang menyayangi serta prihatin terhadap mereka.
Adalah diharapkan agar program yang dijalankan ini dapat terus memupuk perasaan kasih sayang serta keperihatinan di kalangan penganjur terhadap insan yang kurang bernasib baik serta perasaan bersyukur dan dihargai di kalangan peserta program selaras dengan usaha UiTM di dalam melahirkan graduan yang bersifat ihsan dan berjiwa murni yang bakal menjadi peneraju negara di masa yang akan datang. Semoga segala usaha yang dijalankan oleh pihak penganjur dapat mengeratkan lagi ukhwah dan silaturrahim di antara mahasiswa UiTM dengan masyarakat setempat serta meningkatkan imej positif UiTM di mata masyarakat luar.