Pada 11 Jun 2023 (Ahad) telah berlangsungnya program motivasi di Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis. Peserta program tersebut adalah terdiri daripada 9 orang pelajar tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Agama Nurul Islam (SMANI), Ayer Hitam Kedah. Program motivasi ini merupakan inisiatif Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Research Interest Group Arabic Language Education (RIG ALE) dan Research Interest Group Digital Communicators yang di ketuai oleh Dr Ummi Syarah Ismail bersama para pensyarah Akademi Pengajian Bahasa dengan dibantu oleh pelajar sukarelawan dari fakulti FSG, FPP dan KPPIM UiTM Cawangan Perlis.
Program motivasi ini bertujuan membina keyakinan dan motivasi diri dalam kalangan para pelajar di samping meningkatkan potensi diri mereka dalam kemahiran akademik dan sahsiah bagi melahirkan para pelajar yang berpengetahuan serta berkeyakinan tinggi, memupuk semangat belajar dan pengurusan diri dalam kalangan para pelajar, memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai suasana pembelajaran di universiti, membuat promosi program-program di UiTM Cawangan Perlis serta berkolaborasi dengan komuniti luar seiring dengan agenda universiti untuk mengukuhkan hubungan kerjasama dengan masyarakat luar melalui program ilmiah.
Di antara para penceramah UiTM yang dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada para pelajar mengikut bidang kepakaran adalah En. Khairu Azlan Abd Aziz – Matematik, Prof. Madya Dr. Muhammad Fadhili Yahaya – Bahasa Inggeris, Dr. Hasyeilla Abd Mutalib – Perniagaan dan Dr. Nadhilah Abdul Pisal – Bahasa Arab. Jemputan dari SMANI adalah terdiri daripada pengetua sekolah, kaunselor dan 10 guru pengiring. Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Timbalan Rektor PJI, ucapan KPP APB, ucapan pengetua sekolah, tayangan video dan seterusnya sesi ceramah.