Sungai Buloh, 5 Julai 2024 – Program Bicara Keusahawanan telah dianjurkan dengan jayanya hasil kerjasama di antara Pusat Pengajian Sains Praklinikal, Fakulti Pergigian, UiTM Kampus Sungai Buloh bersama pengasas dan juga kakitangan daripada Bake & Etc Sdn Bhd. Program ini telah dihadiri oleh semua mahasiswa tahun 1 Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, kakitangan Fakulti Pergigian serta kakitangan Universiti Teknologi MARA daripada fakulti dan cawangan lain.
Bicara keusahawanan ini bermula seawal jam 8.30 pagi dengan perkongsian daripada salah seorang pengasas dan juga merupakan Pengarah Jualan dan Pemasaran, Bakin’Love, Puan Zulna Hashim. Perkongsian sesi pertama ini lebih kepada pengenalan keusahawanan, cara mengenalpasti pasaran dan pesaing melalui analisa kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran (SWOT analysis) di dalam sesuatu perniagaan.
Sesi diteruskan dengan teknik pemasaran di media sosial, di mana Puan Zulna telah berkongsi tips dan strategi pemasaran di media sosial seperti instagram, tiktok dan facebook di antaranya melalui pemilihan tanda pagar (#) yang tepat. Perancangan modal dan kewangan dalam perniagaan/ aktiviti keusahawanan turut ditekankan pada sesi tersebut.
Di antara slot yang dinanti-nantikan oleh para peserta adalah sesi demonstrasi penghasilan muffin atau kek cawan di dalam masa yang singkat menggunakan produk pracampuran Bakin’Love sendiri. Sesi ini dikendalikan oleh seorang pempengaruh terkenal yang juga merupakan Pengurus Pemasaran Bake & Etc Sdn Bhd, Puan Hadijah Bentaleb. Di sesi ini, para peserta dapat melihat secara praktikal penghasilan muffin menggunakan tepung premix Bakin’Love di dalam masa lebih kurang 5 minit. Selain itu, pembentangan dan tips pembungkusan produk turut dikongsikan yang merupakan salah satu strategi dalam meningkatkan hasil jualan.
Di akhir program ini, para peserta telah diberikan tugasan untuk menyediakan laporan menggunakan ilmu yang telah dipelajari di dalam program ini. Hasil daripada program ini, turut dianjurkan ialah pertandingan inovasi menggunakan produk-produk pracampuran Bakin Love. Pertandingan ini terbuka kepada kumpulan mahasiswa Tahun 1 Sarjana Muda Pembedahan Pergigian yang merupakan peserta bagi Karnival DSH 3.0. Hasil inovasi ini akan dinilai dan mula dijual pada 19 Julai 2024 iaitu pada majlis Market Day 2.0 Karnival DSH 3.0.
Program keusahawanan sebegini diharapkan dapat memberi impak positif terutamanya kepada para mahasiswa dalam membentuk keterampilan interpersonal mahasiswa, kepimpinan, pengurusan masa dan kemampuan dalam membuat sesuatu keputusan yang berada di luar bidang pengajian mereka. Selain itu, pengetahuan keusahawanan yang diberikan diharapkan dapat menyumbang dalam melahirkan mahasiswa yang lebih kreatif, beridealisme dan proaktif bukan sahaja di dalam bidang pergigian malah di dalam bidang keusahawanan yang menjadi tonggak dalam kemajuan negara. In shaa Allah lebih banyak program seperti ini telah pun di rancang dan bakal dilaksanakan dibawah program DSH 3.0 yang kemudiannya akan disumbangkan semula kepada masyarakat. Di harapkan inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja memberikan impak dalam kemenjadian para mahasiswa ini sepanjang pengajian mereka sahaja, namun juga selepas mereka menamatkan pengajian mereka di UiTM tercinta yang seterusnya memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.