Program Bersama Komuniti: Kempen Kelestarian Alam Sekitar

TAWAU, 5 NOVEMBER 2022 (SABTU): Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah menjalinkan kolaborasi dengan Politeknik Tawau Sabah (PTS) dalam mengadakan Program Bersama Komuniti dengan kerjasama daripada ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sawit Balung, Tawau.

Program Bersama Komuniti Kolaborasi UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Bahagian Kelestarian Alam Sekitar telah dirasmikan oleh Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus, UiTMCSH Kampus Tawau. Turut hadir menjayakan program ini ialah Dr. Hajah Nor Hanizah Mohamad, Pengarah Politeknik Tawau Sabah (PTS) dan Tuan Razali Hamzah, Pengerusi KRT, Taman Sawit, Balung. Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations’ Sustainable Developmental Goals). Program Bersama Komuniti ini bertujuan untuk memupuk kesedaran pelajar dan masyarakat setempat tentang kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan komuniti setempat dan generasi akan datang.

Program khidmat komuniti ini juga telah memberi satu ruang kepada pelajar dan staf kedua-dua institusi pengajian tinggi untuk bersama-sama merancang dan menganjurkan program yang menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat. Di samping itu, aktiviti kesedaran alam sekitar ini telah berjaya menjalinkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat dengan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam setempat. Program Kelestarian Alam Sekitar ini telah dijalankan secara berkumpulan.

Dalam pada itu, pelajar UiTMCSH Kampus Tawau dan PTS telah dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk menjalankan aktiviti mengutip sampah mengikut zon di sekitar kawasan Taman Sawit Komersial, Balung. Untuk memberi dorongan dan motivasi kepada pelajar, program Kelestarian Alam Sekitar telah dilaksanakan dalam bentuk pertandingan “Kutipan Sampah Paling Berat”. Hadiah tempat pertama telah dimenangi oleh Kumpulan PTS2, dari Politeknik Tawau Sabah. Dengan sambutan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat dan para pelajar institusi pengajian tinggi, diharap program ini dapat meningkatkan tahap kesedaran terhadap kebersihan persekitaran dan memupuk amalan pembuangan sampah yang lebih berhemah di kalangan masyarakat setempat.

Pihak penganjur Program Bersama Komuniti Kolaborasi antara UiTM Cawangan Sabah dan Politeknik Tawau Sabah ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa program atas kerjasama, masa dan tenaga yang telah disumbangkan dalam menjayakan program ini. Diharap program komuniti sedemikian dapat dijalankan di masa akan datang.