TAWAU, 12 OGOS 2022: Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan program ‘Berjalan Teguh Bersama’ bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022. Program ini telah diketuai oleh YBrs. Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling dan turut disertai oleh warga staf UiTM.
Tema Hari Kebangsaan 2022 adalah ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Program ‘Berjalan Teguh Bersama’ merupakan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai dan harmoni dengan membawa bendera Jalur Gemilang bermula di Bangunan Menara Gemilang, UiTMCSH Kampus Tawau ke Taman Sawit, Balung yang melibatkan jarak sejauh 6.5 kilometer. Warga staf digalakkan memakai baju berwarna biru, kuning, merah dan putih yang merupakan warna pada Jalur Gemilang bagi membangkitkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam diri masing-masing.
Salah seorang peserta, Dr. Azmin Pullong berkata program ‘Berjalan Teguh Bersama’ melibatkan warga staf UiTM ini telah membawa mesej kebersamaan sejajar aspirasi Keluarga Malaysia dan semangat perpaduan.
“Selain mengibar bendera Jalur Gemilang, cara lain untuk membuktikan cinta kepada Malaysia adalah melalui mengamalkan nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan toleransi tidak kira dari latar belakang apa pun termasuklah kita sebagai warga UiTM,” tambahnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Puan Hamidah Achmad berkata beliau berasa amat teruja menyertai program seperti ini buat kali kedua setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2020 yang lalu.
“Syukur Alhamdulillah, setelah kita berjuang memerangi Pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas, negara kini dalam fasa peralihan ke Endemik dan semua rakan staf UiTM mula menikmati kesejahteraan hidup seperti sebelum pandemik melanda dunia,” ujarnya.
Semoga sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini dapat memberikan manfaat kebaikan lebih cemerlang, terutamanya dalam aspek memelihara perpaduan dalam kepelbagaian kaum di kalangan rakyat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.