Program Bakti Siswa Madani: Anak Bangsa Mengubah Destini – Komitmen UiTM Perak Terhadap Komuniti Luar Bandar

PARIT, 12 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah melaksanakan program komuniti bertajuk “Bakti Siswa Madani: Anak Bangsa Mengubah Destini” di Sekolah Kebangsaan Layang-Layang Kanan, Belanja, yang melibatkan 80 mahasiswa dan 15 staf universiti.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Program Siswa Aspirasi Rakyat (SASAR), yang dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Ia bertujuan memperkukuhkan hubungan universiti dengan komuniti dan memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan, termasuk keceriaan landskap oleh Jabatan Alam Bina dan Teknologi, lukisan mural untuk menyuntik kreativiti, program gotong-royong, klinik bola sepak, program Team Building dan Neuro-Linguistic Programming (NLP), dan saringan kesihatan.

Pengarah Program, En Mohd Shahril Ab Rashid, menekankan bahawa program ini memberi peluang mahasiswa memahami keperluan masyarakat luar bandar sambil mengamalkan nilai kesukarelawan.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, memuji usaha mahasiswa dalam menyumbang kepada komuniti. “Program ini membuktikan kemampuan mahasiswa UiTM untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Kehadiran tokoh penting seperti YB Tuan Khairudin Bin Abu Hanifa, Exco Pendidikan Negeri Perak, turut memberi motivasi kepada peserta. Majlis penutup pada 12 Januari 2025 disertai oleh Rektor UiTM Perak, Prof Madya Dr Nurhisham Ibrahim, dan pihak pentadbiran universiti serta sekolah.

Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Dr. Hasrol Jono, menegaskan program ini sebagai manifestasi DNA UiTM dalam melahirkan mahasiswa holistik yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah.

Program “Bakti Siswa Madani” berjaya menjalin hubungan erat antara universiti dan komuniti setempat, serta membina generasi pemimpin masa depan yang berjiwa besar dan patriotik.

 

Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi

Penulis Bersama: Nor Azlin Rosli, Zainal Fikri Zamzuri, Dr. Khyrina Airin Fariza Abu Samah, Dr Mohd Azian Zaidi