Program Bakti Siswa Dan Khidmat Masyarakat 2023: Manfaat Untuk Semua

Mengambil semangat dan suntikan inspirasi daripada Puan Fadzilah atau lebih mesra dengan panggilan Makyong, pihak Jabatan Undang-Undang UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program kemasyarakatan bersama dengan 40 sukarelawan siswa dan siswi dari Fakulti Perakaunan.

Buat julung kalinya, dengan izin Allah, program Bakti Siswa dan Khidmat Masyarakat 2023 telah berjaya dilaksanakan dengan sangat baik pada 7 Januari 2023 (Sabtu) yang lalu. Bertempat di pusat tuisyen milik Makyong, di bawah syarikat Bagas Ilmu Resources, lokasi dan suasana di Kampung Batu Berangkai, Kampar, Perak begitu mengujakan para sukarelawan untuk berganding bahu menggembleng tenaga untuk bergotong royong demi menjayakan program tersebut.

Seawal jam 7.15 pagi, kesemua 40 sukarelawan dan 4 pensyarah pengiring dari Jabatan Undang-Undang bergerak ke lokasi dan segera memulakan aktiviti mengemas kawasan, mengecat dinding bangunan, membersihkan halaman, seterusnya menyusun atur semula untuk kekemasan dan kebersihan kawasan. Dengan kerjasama baik semua pihak, program dapat diselesaikan sekitar jam 1 petang. Alhamdulillah, masing-masing memberikan semangat yang padu sepanjang program berlangsung.

Lebih memeriahkan program, jutaan terima kasih diucapkan buat Yang Berusaha, Profesor Madya Sr. Dr. Mohd Azian Zaidi, Penolong Rektor Hal Ehwal Pelajar, kerana sudi merasmikan program Bakti Siswa dan penyerahan sijil penghargaan buat para sukarelawan. Setinggi – tinggi penghargaan juga buat Penolong Rektor UiTM Kampus Tapah, Dr Zoolhelmi Alias atas kesudian menghadiri program dan menyerahkan sijil tamat belajar buat para pelajar di pusat tuisyen berkenaan.

Menjadi pembuka acara untuk tahun 2023, program sebegini ternyata dapat memberi manfaat buat semua pihak, sekaligus memberikan nilai dan kenangan yang berharga buat para siswa dan siswi yang terlibat. Selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW; “Sebaik baik manusia adalah memberi manfaat untuk orang lain”.

Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, dan dapat menjadi titik tolak kepada peningkatan sumbangan UiTM masyarakat setempat.