Rembau, 20 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan telah mencatatkan sejarah sebagai institusi pertama dalam kalangan universiti awam yang melaksanakan Program Bakti Madani (MADANI) di peringkat Parlimen Rembau.
Program yang dilancarkan di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini melibatkan lebih 50 Komander Kesatria UiTM yang bertindak sebagai anak angkat kepada 25 keluarga di kawasan DUN Chembong.
Menurut Rektor UiTM Negeri Sembilan, Profesor Dr. Yamin Yasin, program ini bertujuan melahirkan mahasiswa yang cemerlang dari segi akademik dan mempunyai nilai kepimpinan serta empati tinggi. “Ia merupakan platform terbaik untuk menghubungkan pelajar dengan komuniti dan memupuk semangat kesukarelawan,” katanya.
Y.B. Dato’ Haji Zaifulbahri Bin Haji Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DUN Chembong, menyatakan keyakinan bahawa program ini dapat membina hubungan harmoni antara mahasiswa dan komuniti setempat.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk gotong-royong, kenduri muhibbah, sukan rakyat, kursus inovasi penanaman cendawan tiram, dan aktiviti kerohanian di Masjid Kampung Pilin.
Program ini meliputi kawasan utama seperti Kampung Pilin, Kampung Kundur Hilir, Kampung Kundur Hulu, Kampung Durian Daun, dan Taman Desa Permai Kundur.
Sebahagian daripada Program Siswa Aspirasi Rakyat (SASAR KPT), inisiatif ini melibatkan 20 Universiti Awam dengan penyertaan 1,600 mahasiswa dan lebih 3,200 ahli komuniti dari seluruh negara.
Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Ts Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, menekankan bahawa program ini selaras dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menyediakan bakat terbaik negara.
Melalui enam teras Pembangunan Komuniti Students for Society (S4S), program ini bertujuan melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi dengan nilai kesukarelawan yang teguh, sejajar dengan gagasan Malaysia Madani.
Program Bakti Madani membuktikan komitmen UiTM dan KPT dalam merealisasikan pembangunan masyarakat yang inklusif dan progresif.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Mohd Zulhilmi Mohd Yunus
Penulis Bersama : Dr. Yamin Yasin, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman