PAHANG – Program “Bakti Disemai, Hasil Dituai” yang dianjurkan oleh Fakulti Perladangan & Agroteknologi (FPA) bersama Unit Pengurusan Ladang (UPL) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang telah diadakan dengan jayanya di SMK Jengka Pusat pada 16 Ogos 2024. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program University Social Responsibility (USR) yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat. Delegasi FPA telah diketuai oleh Dr. Puvan a/l Paramisparam sebagai Pengarah Program dan disertai oleh 14 orang pensyarah FPA, 3 orang kakitangan UPL serta sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi Diploma Pengurusan Ladang (DPIM) semester 3 yang berperanan sebagai fasilitator program.
Antara intipati program adalah bagi; (i) menjalin kerjasama antara FPA, UPL, dan komuniti setempat khususnya melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Jengka Pusat, (ii) meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pertanian dalam kalangan peserta melalui sesi perkongsian ilmu dan aktiviti praktikal berkaitan penanaman nanas, serta (iii) mempromosikan peranan UiTM Pahang sebagai sebuah institusi yang komited dalam pembangunan komuniti dan memperkasa ekonomi tempatan melalui pendidikan dan latihan. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Puvan, yang menekankan kepentingan kerjasama strategik antara universiti dan masyarakat dalam bidang pertanian.
Seterusnya, sesi pengenalan program dan perkongsian ilmu berkaitan asas tanaman nanas serta kawalan penyakit dan perosak telah diadakan, di mana peserta diberikan pendedahan mengenai teknik-teknik yang relevan untuk meningkatkan produktiviti tanaman. Aktiviti hands-on turut dijalankan, melibatkan penyediaan tapak tanaman, penanaman, pembajaan, dan kawalan penyakit di tapak tanaman PPKI SMK Jengka Pusat. Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mempraktikkan pengetahuan yang telah dipelajari, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan antara peserta dan fasilitator. Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Koordinator Akademik FPA, Puan Noor Azimah Binti Darus dan diikuti dengan ucapan penghargaan oleh wakil guru PPKI SMK Jengka Pusat. Program ini kemudiaannya diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan sesi bergambar.
Terima kasih diucapkan diucapkan kepada semua peserta. Setinggi-tinggi penghargaan juga ditujukan kepada warga PPKI SMK Jengka Pusat atas sambutan mesra dan kerjasama yang diberikan. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada peserta terlibat dan mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan secara amnya, UiTM Cawangan Pahang khususnya dengan masyarakat setempat.