12 Oktober 2024 – Unit Kerjaya dan Kaunseling, Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil dengan kerjasama Kelab PEERS telah berjaya menganjurkan ASiD Motivator Competition. Pertandingan ini disertai oleh 50 pelajar dari pelbagai jurusan dan bertujuan untuk mencungkil bakat ikon motivasi muda. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk memilih wakil UiTM yang akan bertanding di peringkat kebangsaan dalam IPT Young Motivator Competition (i-MAC), mewakili institusi Asasi dan Matrikulasi.
Pertandingan ini dilihat sebagai salah satu usaha proaktif dalam melahirkan belia yang berketerampilan, berwawasan dan berkemahiran dalam menyampaikan motivasi yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Ir. Dr. Ahmad Farid Abidin@Bharun, Pengarah Pusat Asasi. Beliau turut diiringi oleh En. Mahadi Kamaludin, Timbalan Pengarah HEP dan ICAN, serta En. Norhisham Ya’cob merangkap penasihat kelab bagi pertandingan.
Muhammad Iman Hadif Mohd Yusri, pelajar dari Asasi Undang-Undang, telah dinobatkan sebagai juara. Pihak penganjur mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang telah memberikan komitmen yang tinggi sepanjang program ini dijalankan. Semoga usaha ini dapat diteruskan dan lebih ramai lagi ikon motivasi muda dapat dilahirkan pada masa hadapan.