Program Apresiasi Seni Untuk Semua dan Pameran Seni Visual Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2022

29 September 2022 – Program Apresiasi Seni Untuk Semua dan Pameran Seni Visual Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2022 merupakan satu program pembangunan dan kecemerlangan seni visual yang dirancang untuk keberhasilan murid KPM dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah. Program ini merangkumi tiga pertandingan seni visual seperti International High School Arts Festival (IFAC-Japan), Pertandingan Seni Visual Sekolah Rendah dan Menengah dan Pertandingan Poster Wira Anti Rasuah (WAR) Sekolah Rendah dan Menengah.

Hasil lukisan murid yang terpilih mewakili 16 JPN dan satu (1) Sekolah Seni Malaysia (SseM)/Sekolah Sukan Malaysia (SSM) telah dipamerkan kepada komuniti secara terbuka di Galeri Hab Media Kreatif dan Teknologi (CMTHub) UiTM Shah Alam.

Program ini adalah hasil kerjasama dengan pihak Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bersama tiga agensi iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Galeri Shah Alam (GSA), Galeri Hab Medi Kreatif & Teknologi.

Matlamat program ini adalah untuk memberi peluang kepada murid di peringkat sekolah rendah dan menengah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkembangkan bakat dan potensi melalui penganjuran pertandingan seni visual bagi memupuk minat lebih mendalam, memberi kesedaran dan kepekaan murid terhadap nilai murni, integriti dan anti rasuah serta estetika kesenian dalam bidang seni visual.