Program 2FRace: Deal with the Debt! Suatu Penanda Aras Baharu Pendidikan Celik Wang

Peserta untuk Program 2FRace: Deal with the Debt!

Kota Kinabalu, 16 Jun 2019 – The Financial Freedom Race atau nama julukannya 2FRace 2019 merupakan inisiatif terbaharu yang diperkenalkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah melalui Fakulti Pengurusan & Perniagaan (FPP) dengan mengetengahkan tema Deal with the Debt! atau ‘berhadapanlah dengan hutang’.

Program kesedaran hasil kolaborasi antara UiTM dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam usaha memberikan kesedaran serta ilmu pengurusan kewangan dan kredit dalam kalangan masyarakat sekeliling.

Program yang berkonsepkan siri realiti tv The Amazing Race tersebut direka khas bertujuan bagi menarik minat golongan belia untuk mempelajari ilmu-ilmu pengurusan kewangan dan kredit dengan lebih santai serta menyeronokkan.

Penganjuran edisi pertama 2FRace tersebut telah disertai oleh 60 pelajar UiTM Cawangan Sabah yang rata-ratanya berumur antara 20 hingga 25 tahun. Kehadiran Ketua Kaunselor Kredit AKPK Wilayah Sabah dan Labuan, Encik Idris bin Kasim di awal program sedikit sebanyak memberikan rasa keterujaan dalam kalangan para peserta untuk mempelajari lebih banyak lagi ilmu pengurusan kewangan yang bijak.

Beliau yang hadir menyampaikan sedikit kata-kata semangat sebelum memulakan kick-off perlumbaan itu turut berpesan agar masyarakat tidak perlu berasa takut untuk berjumpa dengan pegawai AKPK sekiranya mempunyai masalah berkaitan dengan hutang kerana sudah menjadi mandat kepada mereka untuk memberikan bantuan melalui kaunseling tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan sejumlah 303, 415 kes kebankrapan telah ditadbir di seluruh negara sehingga Disember 2018. Daripada jumlah tersebut, Kota Kinabalu berada di kedudukan 10 teratas dengan mencatat sebanyak 8, 769 kes kebankrapan.

Tambahan pula, suatu kajian yang dijalankan oleh S&P Global Literacy Financial melaporkan kadar kecelikan kewangan di Malaysia hanya 36% berbanding dengan negara-negara maju seperti Singapura (59%) dan United Kingdom (67%).

Kadar kecelikan kewangan yang rendah merupakan antara faktor utama penyumbang kepada tahap keberhutangan tinggi serta masalah kebankrapan yang semakin membimbangkan dalam kalangan belia.

Bertitik tolak daripada kebimbangan tersebut, maka program 2FRace diperkenalkan dalam format permainan interaktif untuk menarik minat golongan belia bagi mempelajari ilmu pengurusan kewangan dan kredit agar masyarakat terutama golongan muda tidak terjerumus ke lembah kebankrapan.

Program ini memerlukan para peserta untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling melalui tugasan-tugasan yang telah di susun rapi berdasarkan modul pengurusan kewangan dan kredit daripada AKPK.

Antara tugasan yang harus disempurnakan oleh para peserta termasuklah berinteraksi dengan pengunjung di Pasar Ahad Gaya Street untuk mendapatkan maklumat berkaitan ilmu asas pengurusan kewangan, menjual buku POWER! dan Money $ense terbitan AKPK kepada orang awam, mencari orang awam untuk sama-sama menyelesaikan permasalahan pembelian kereta menggunakan teknik nisbah hutang kepada pendapatan dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, program 2FRace mampu menjadi platform terbaik untuk menarik minat generasi gajet masa kini agar mempelajari ilmu pengurusan kewangan serta kredit yang tepat dan seterusnya beranjak selangkah ke hadapan menjadi generasi celik wang pada masa akan datang.

Selain itu, 2FRace juga berpotensi untuk meletakkan nama Bandaraya Peranginan Semula Jadi ini di peta Malaysia sebagai hub kecelikan kewangan sekiranya ia menjadi acara tahunan dan penyertaan dibuka kepada pelajar-pelajar daripada negeri lain, kata Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi DBKK Encik Benedict Oliver Lidadun semasa menyampaikan ucapan perasmian mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Haji Nordin Siman.

Beliau turut berharap agar kolaborasi 3 penjuru antara UiTM Cawangan Sabah, AKPK Wilayah Sabah dan Labuan serta DBKK ini akan diteruskan pada masa hadapan untuk kebaikan bersama. Malah, institusi-institusi kewangan yang lain seperti institusi perbankan turut dialu-alukan untuk berkolaborasi bersama dalam usaha melahirkan masyarakat celik wang dan bebas daripada masalah kewangan.

0
0