Jengka,9 Jun 2024 –Organization of Biology Progeny (OBEY) telah menganjurkan program Progeny’s Bond Day pada yang bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara pelajar dan pensyarah Ijazah Sarjana Muda Kepujian Biologi (AS201). Dengan adanya program ini, semua pelajar dapat berkenalan dengan pelajar dari setiap semester. Penganjuran Progeny’s Bond Day OBEY juga diharapkan dapat membantu mengurangkan tekanan pelajar yang sedang sibuk dengan kerja kursus dan juga peperiksaan akhir yang bakal menjelma tidak lama lagi. Ini merupakan salah satu inisiatif dari Kelab OBEY untuk mengelakkan pelajar agar tidak terlalu tertekan dan juga memberi peluang untuk beriadah.
Antara aktiviti yang telah disediakan adalah mulut itik, belon kereta api, bola buta, cangkuk di kepalaku, selipar muzik dan mainan gantian yang dilakukan secara berkumpulan. Aktiviti berkumpulan ini bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dan merancang strategi untuk menyelesaikan misi bersama-sama. Semua aktiviti yang dilakukan merupakan aktiviti yang dipadukan bagi menguji ketahanan dan kreativiti para peserta. Setiap aktiviti yang diberikan memberi maksud, refleksi dan objektifnya yang tersendiri. Di samping itu juga pelbagai makanan hasil air tangan pelajar dan pensyarah telah disediakan seperti macaroni bakar, bebola daging barat, sandwich, aiskrim Malaysia, roti sosej, kek batik dan banyak lagi.
Penganjuran program ini sekaligus memberi pengalaman yang besar kepada penganjur dalam menguruskan pelajar dan sedikit sebanyak telah membantu pelajar untuk menambah koleksi memori sepanjang pengajian di UiTM cawangan Pahang Kampus Jengka ini . Diharapkan program ini dapat diteruskan dan diperbaiki pada masa akan datang bagi mengukuhkan lagi semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan pelajar dan pensyarah AS201.