KUALA LUMPUR – Produk inovasi ‘NACOTS’ telah dinobatkan sebagai Juara di rancangan realiti ASTRO, INNOVATHON. Kejayaan ini merupakan hasil kerja berpasukan sekumpulan penyelidik yang diketuai Profesor Madya Dr Zainiharyati Mohd Zain dari kumpulan penyelidikan Electrochemical Material and Sensor (EmaS) dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Jalinan kerja mantap oleh pakar-pakar dari pelbagai bidang seperti kimia, farmasi, perubatan kejuruteraan mikroelektronik, bendalirmikro, dan teknologi perisian dengan penglibatan pelbagai agensi lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) telah menghasilkan NACOTS dalam masa 18 bulan.
NACOTS adalah sebuah produk inovasi cemerlang hasil penelitian dan pembangunan di UiTM, dengan kerjasama rapat UIAM dan IMR yang memberikan fokus kepada pengesanan asid nukleik virus SARS-CoV-2. Buah fikiran untuk menghasilkan inovasi ini bermula apabila Dr. Norazmi Alias, Timbalan Presiden CREST semasa pandemik mengesyorkan pembangunan penderia atau sensor bagi pengesanan RNA virus tersebut. Kajian ini mensasarkan kepada kaedah pengesanan asid nukleik yang lebih menjimatkan masa, kos dan mesra alam.
“Kajian kami bagi pembangunan sensor DNA kanser payudara pula telah bermula sejak tahun 2015 di mana kami berjaya membangunkan sensor DNA BRCA namun tanpa peranti elektronik dan perisian. Kini kami berharap untuk membantu saringan awal pembawa gene kanser payudara yang akan memberi manfaat kepada pengurusan dan kos rawatan apabila kanser payudara di kesan pada tahap yang lebih awal. Pasukan penyelidikan kami menerima dana penyelidikan oleh MOSTI ketika pandemik COVID-19 untuk penerokaan alat pengesan sebegini – Profesor Madya Dr Zainiharyati Mohd Zain-pengasas NACOTS.
Kejayaan ini telah membolehkan beliau dan pasukan meraih hadiah utama berbentuk wang tunai dan hadiah pelaburan sokongan pembangunan bernilai sehingga RM1 juta bagi pembangunan dan mengkomersialkan produk inovasi NACOTS.
“UiTM amat berbangga dengan pencapaian ini, apatah inovasi ini adalah juara buat kali pertama dianjurkan. Inovasi dan idea hasil dari penyelidikan UiTM telah menunjukkan perkembangan yang hebat dan kemenangan ini merupakan bukti sumbangan idea inovatif yang akan memanfaatkan negara dan dunia”- Naib Canselor UiTM, YBhg Profesor Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBhg. Profesor Ts. Dr Norazah Abd Rahman, pencapaian ini memperlihatkan hasil penyelidikan di UiTM telah mencapai mutu dan kualiti setanding penghasilan inovasi di tahap global yang berkemampuan untuk memberi sumbangan kepada penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh industri dan masyarakat. Ini juga akan memberi impak positif dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam memenuhi keperluan pasaran di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menambah bahawa kerjasama antara pihak kementerian, industri, dan institusi pendidikan seperti ini perlu dicontohi oleh semua penyelidik UiTM dalam meningkatkan produktiviti serta memupuk minda produktif secara meluas dalam ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi.
Turut menganggotai dalam pembentangan pasukan NACOTS dalam pertandingan Innovathon adalah Prof. Madya Dr. Aminah Raphor dan Pn. Lili Elina Mohd Radzuan dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, Dr. Ahmad Faisal Mohamed Fiah dari Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Prof. Madya Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar, Pengarah BITCOM, Prof. Madya Dr Hamizah Mohd Zaki dan Cik Munirah Zulhairee, dari Fakulti Sains Gunaan serta Dr Amizon Azizan dari Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM masing-masing. Pasukan ini telah banyak menyumbang idea, masa dan tenaga kepada kejayaaan pasukan NACOTS, seterusnya meraih minat dan perhatian barisan panel juri profesional, pihak pemain industri serta juri awam dan membawa antara 58 finalis bagi kategori People’s Choice Awards, seterusnya melakar gelaran Juara yang pertama.
Program anjuran pihak Astro dengan kerjasama Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) ini buat julung kalinya diterbitkan bagi pembudayaan inovasi dalam masyarakat, mengetengahkan inovator dan idea inovatif bagi memberi penyelesaian isu sosioekonomi negara. Rancangan mingguan sebanyak lapan episod ini telah bermula pada 15 Julai 2023, yang disiarkan di saluran Astro Ria dan Astro Go.