Prestasi Terbaik: Merentas Puncak Kecemerlangan di APB

Shah Alam, 6 Disember 2023 – Majlis Anugerah Dekan Akademi Pengajian Bahasa Sesi Mac 2023 – Ogos 2023 telah diadakan pada 5 Disember pukul 7.00 petang hingga 10.20 malam bertempat di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Kediaman Mawar, UiTM Shah Alam. Majlis yang bertemakan Bollywood ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Janudin Sardi, Dekan Akademi Pengajian Bahasa. Ahli Pengurusan Tertinggi, pensyarah dan pelajar turut hadir memeriahkan malam anugerah ini.

Majlis ini bertujuan memberikan pengiktirafan dan pemangkin semangat kepada semua mahasiswa Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai Anugerah Dekan (AD) pada semester pengajian yang akan datang. 

Seramai 344 orang pelajar APB telah menerima penganugerahan akademi. Prestasi tersebut dipacu seiring dengan nilai iDART UiTM iaitu ilmu, disiplin, amanah, rajin dan tanggungjawab. Seiringan dengan itu, APB komited dalam memperkukuhkan modal insan justeru melengkapkan pelajar sebagai pemimpin masa depan dengan pengetahuan dan kemahiran penting sebagai persiapan menjadi tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan.

Tahniah diucapkan kepada semua mahasiswa cemerlang pada sesi kali ini. Semoga mereka sentiasa mengekalkan kecemerlangan dalam semua aspek dan menjadi inspirasi kepada para pelajar lain. Pihak Akademi Pengajian Bahasa juga berharap untuk melihat peningkatan jumlah bilangan Penerima Anugerah Dekan pada sesi yang seterusnya.