Shah Alam, 5 Jun 2024 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) menerusi Sekretariat Kebajikan Mahasiswa (SKM) KPPIM telah mengadakan program Pre-loved Boutique KPPIM di UiTM Shah Alam dan UiTM Puncak Perdana. Program ini merupakan salah satu initiatif dari pihak SKM dan HEP KPPIM dalam memupuk budaya memakai pakaian mengikut sahsiah rupa diri (SRD) di kalangan pelajar KPPIM. Program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan dan menggalakkan semangat berkongsi serta tolong menolong dalam kalangan KPPIM.
Para pensyarah dan juga pelajar telah menyumbang pakaian-pakaian yang terpakai seperti baju kurung, tudung, kemeja lelaki dan perempuan, seluar panjang dan lain-lain. Pakaian-pakaian ini dipamerkan di student lounge, bangunan CS2 Kompleks Al-Khawarizmi, KPPIM UiTM Shah Alam dan PTAR di UiTM Puncak Perdana. Para pelajar boleh mengambil pakaian ini secara percuma tanpa dikenakan bayaran dan di KPPIM UiTM Shah Alam, program ini telah berlangsung pada setiap hari Rabu sehingga minggu terakhir kuliah (Minggu – 14).
Manakala di KPPIM Kampus Puncak Perdana, program Pre-loved Boutique ini telah bermula pada 12 Jun 2024 dan telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar kampus Puncak Perdana. Program ini telah diterajuii oleh Dr. Suzana Ahmad selaku Ketua Kesejahteraan dan Kebajikan Pelajar, HEP KPPIM UiTM Shah Alam. Program turut diselia oleh Puan Nordiana Mohd Nordin, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Maklumat, KPPIM UiTM Puncak Perdana, dan dibantu oleh Ketua dan Penolong Sekretariat Kebajikan Mahasiswa KPPIM (SKM), Ezaril Harith Bin Ezul Farhan dan Nur Husna Binti Rozali.
Penulis: Ezaril Harith Bin Ezul Farhan & Dr. Suzana Ahmad (Editor: KPPIM News Team)