MACHANG, 17 Januari – Sebelum semester sesi 1 2023/2024 melabuhkan tirai, Pusat Pengajian Siswazah UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menganjurkan program ‘Postgraduate Research Colloquium’ yang bertujuan untuk memberikan bantuan serta maklumat kepada calon-calon sarjana dan kedoktoran yang sedang dalam proses menyiapkan hasil penyelidikan dan penerbitan.
Kolokium ini bermula dengan sesi webinar bertajuk “Smart Moves: How AI Jazzes Up Your Research Experience” yang diisi dengan pendedahan kepada peserta mengenai peranan penggunaan AI (Artificial Intelligence) dalam proses penyelidikan mereka.
Sesi pembentangan selari dijalankan di mana setiap peserta mendapat peluang untuk membentangkan laporan kemajuan penyelidikan mereka. Pembentangan ini dinilai oleh penyelia berpengalaman dari UiTMCK, yang memberikan pandangan dan panduan yang bernilai kepada para peserta.
Penganjuran program ini berjalan dengan lancar, hasil berkat dan kerjasama yang erat antara ahli jawatankuasa yang berdedikasi dan moderator yang berpengalaman. Harapan kami agar program ini dapat memberikan manfaat kepada calon sarjana dan kedoktoran dalam meningkatkan kualiti hasil penyelidikan mereka.
Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan telah memberikan sokongan serta berharap program seumpama ini dapat sentiasa diteruskan pada masa hadapan demi kemajuan warga komuniti penyelidikan.