Padang Jawa, 9 Jun 2024 – Pelajar tahun akhir Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan satu program yang bertajuk “Mini Library”. Program ini adalah di bawah kolaborasi antara pelajar Kejuruteraan Sistem Maklumat, pelajar Pengkomputeran Perniagaan, KPPIM dan penduduk Kampung Padang Jawa. Dalam usaha ini, pelajar dan komuniti bekerjasama untuk menyediakan akses kepada bahan bacaan yang berkualiti, memperkaya pengetahuan, dan membina asas pendidikan yang kukuh.
Program perpustakaan mini ‘pop-up’ ini bermula di Balai Belia Kampung Padang Jawa melibatkan kira-kira 29 pelajar KPPIM dan masyarakat tempatan Kampung Padang Jawa. Matlamat program ini adalah untuk menggalakkan kebolehcapaian dan keterbukaan kepada bahan bacaan dan juga menggalakkan perkongsian dan kitar semula bahan bacaan. Penduduk tempatan boleh mengakses bahan bacaan digital dengan mudah dengan mengimbas kod QR yang disediakan oleh pelajar. Bagi mereka yang lebih sukakan buku fizikal, mereka boleh ke rak buku terletak di Balai Belia Kampung Padang Jawa.
Cik Nur Anis Idayu Mohd Nor, pensyarah pembimbing program berkata “Program ini adalah satu langkah bijak dalam memanfaatkan teknologi untuk pendidikan. Dengan hanya mengimbas kod QR, kami boleh membaca pelbagai artikel yang menarik dan berinformasi”. Salah seorang penduduk Kampung Padang Jawa turut menyatakan, “Saya sangat menghargai inisiatif ini kerana ia menggalakkan budaya membaca di kalangan anak-anak muda di kampung kami. Buku-buku terpakai yang dikumpulkan sangat berguna, dan akses kepada artikel dalam talian melalui kod QR adalah idea yang sangat menarik.”
Aktiviti ini merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan untuk memperkasakan dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Pelajar diberi peluang untuk menggunakan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana pengetahuan yang mereka perolehi dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti-aktiviti ini juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Komuniti yang mampan. Ia juga selaras dengan visi Malaysia Madani.
Penulis: Jahirah Harizal, Nur Anis Idayu Mohd Nor (Editor: KPPIM News Team)