Piala Sumbangsih IPT kekal milik UiTM

Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka tirai Liga Bolasepak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan langkah kanan apabila merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris 3-2 (UPSI), di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi. – NSTP/Ihsan FB UiTM

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka tirai Liga Bolasepak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan langkah kanan apabila merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris 3-2 (UPSI), di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Juara bertahan itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis ke atas naib juara Piala Menteri Pendidikan Malaysia berkenaan.

Pemain tengah UiTM, Muhammad Izman Solehin Rohadi meledak dua gol menarik pada minit ke-45 dan masa tambahan.

UPSI menyamakan kedudukan tiga minit babak kedua bersambung menerusi rembatan Mukhlis Ihsan Najmi Mohamad Nadzir dalam kawasan kotak penalti.

Pemain sayap UiTM, Hausen Shwahiri Hasboni Shawal kembali menggandakan jaringan menerusi tendangan leret pada minit ke-69.

Jaringan Badrul Hafiz Mohd Isa pada minit terakhir permainan sudah terlambat buat UPSI sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi.

Ketua jurulatih UiTM, Iqbal Hanafi Masduki berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan yang dibentuknya dalam tempoh sebulan itu.

“Namun, kesilapan komunikasi antara barisan pertahanan dan penjaga gol menjadi punca pasukan lawan berjaya menghasilkan gol.

“Begitupun, saya akan meneliti semula strategi pasukan untuk mengharungi liga musim ini dengan kemenangan,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Pekan Ramli.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff dan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Liga anjuran KPM dijadualkan berlangsung sehingga Mac tahun depan disertai 28 pasukan IPT yang merangkumi saingan bagi divisyen satu dan dua di seluruh negara.

Oleh: Ruwaida Md Zain
Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/10/616843/piala-sumbangsih-ipt-kekal-milik-uitm

0
0