PHYTAS Virtual Fitness Challenge 1.0

Peningkatan kes COVID-19 yang semakin meningkat telah menyekat penganjuran aktiviti-aktiviti pelajar secara fizikal. Namun begitu, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam bersama UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah berjaya menganjurkan beberapa program yang berfaedah bagi menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat untuk mengurangkan masalah stress atau depresi di kalangan pelajar dan staf Fisioterapi di UiTM. PHYTAS telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program PHYTAS Virtual Fitness Challenge 1.0 yang bermula pada 11 Disember 2020 untuk sesi pertama, sesi kedua pada 25 Disember 2020 dan sesi terakhir pada 8 Januari 2021 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Online Distance Learning (ODL) dijalankan.

Program ini dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian dengan menggunakan media sosial sebagai platform memuat naik rakaman video untuk para peserta. Para peserta Fisioterapi telah melibatkan diri secara aktif dan kreatif sepanjang program ini dijalankan. Program ini terbahagi kepada tiga sesi dan setiap peserta harus melakukan senaman berdasarkan rakaman video yang dimuat naik oleh Biro Program yang bertanggungjawab. Setiap sesi dapat diselia secara baik oleh organisasi program apabila semua peserta dikehendaki untuk menyertai group Telegram dikawal selia oleh moderator program bagi memastikan setiap sesi berjalan dengan lancar.

Sehubungan dengan itu, tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk mengurangkan gejala stress dalam kalangan pelajar sekaligus menggalakkan mereka untuk kekal aktif sepanjang berada di rumah. Selain itu, perlaksanaan program ini juga adalah sebagai medium kepada pada pelajar untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang mampu meningkatkan daya pemikiran kreatif dan kritis.

Akhir kata, mengekalkan amalan bukan sedentari dapat mengurangkan risiko masalah kesihatan mental, stress dan kemurungan.