April – November 2021: Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan program PHYTAS Studio 2.0 secara atas talian (online). Program ini merupakan satu program perkongsian ilmiah yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan tentang bidang Fisioterapi secara meluas di pelbagai jenis platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtube rasmi PHYTAS Studio 2.0.
Program ini juga bertujuan untuk mengasah bakat pelajar- pelajar dari kursus Fisioterapi sekaligus meningkatkan keyakinan pelajar dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat serta melahirkan mahasiswa yang berkarisma dan berfikiran kritis dan kreatif. Seramai 26 orang mahasiswa dari Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) yang terdiri daripada 14 ahli jawatankuasa PHYTAS Studio 2.0 dan 12 orang peserta terlibat dalam menjayakan program ini. Program ini telah dipimpin oleh Encik Afiq Ruslan Bin Roslan yang merupakan penasihat program dan saudari Nur Liyana Binti A. Arman sebagai pengarah program.
Program ini dilaksanakan secara terperinci bermula dari pembahagian tugas oleh pengarah program dan pencarian bakat peserta di setiap platform yang dinyatakan diatas oleh Biro pendaftaran iaitu saudari Nurul Irdhina Binti Hishamudin. Setiap pengisian video yang dihantar oleh peserta akan diteliti dan ditapis oleh penasihat dan ahli jawatannkuasa yang terlibat bagi memastikan segala maklumat yang dikongsikan adalah benar dan jitu.
Sepanjang program berlangsung, antara topik yang berjaya dikupas oleh peserta termasuklah, Trigger Finger, Soft Tissue Manipulatan, Chronic Fatigue Syndrome, Stroke, Meniscus Injury, Slipped Disc, Spinal Deformities, Cerebral Palsy, Sport Physiotherapy, Pneumonia dan Taping. Bagi memastikan penyampaian video menjadi lebih menarik, program ini telah melantik 4 orang Biro Multimedia yang menjalankan pengeditan video dan memuat naik pengisian tersebut ke platform media sosial.
Melalui program PHYTAS Studio 2.0 ini, mahasiswa dan masyarakat telah mendapat pelbagai maklumat baharu dan berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Hal ini dapat mengoptimumkan penggunaan media sosial dalam memberi manfaat kepada masyarakat umum dan memberi impak positif dalam pembentukan masyarakat yang sihat dan berpengetahuan. Terbuktilah bahawa program ini amat penting dan perlu dilakukan pada setiap tahun untuk menaikkan lagi nama persatuan, mengasah bakat peserta dan mendedahkan maklumat baharu kepada masyarakat.