PHYTAS mini webinar on demand job: Locum services

Penularan wabak jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat telah menyekat penganjuran aktiviti pelajar secara fizikal. Namun begitu, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menganjurkan beberapa program yang berfaedah bagi meningkatkan pengetahuan serta penglibatan pelajar Fisioterapi dalam bidang keusahawanan terutama dalam bentuk servis/perkhidmatan seperti perkhidmatan locum. Oleh itu, Persatuan PHYTAS telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program PHYTAS Mini Webinar pada 7 Januari 2021 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dijalankan.

Program ini dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian dengan menggunakan platform persidangan video secara langsung menggunakan aplikasi Microsoft Team. Program ini terbuka kepada semua pelajar Fisioterapi dari UiTM Kampus Puncak Alam dan UiTM Kampus Bertam dan seramai 79 orang pelajar Fisioterapi telah melibatkan diri secara aktif sepanjang program ini dijalankan. Program ini telah berlangsung selama 3 jam iaitu bermula jam 2 petang sehingga 5 petang. Sesi perkongsian ilmu bagi program ini telah diberikan oleh Tuan Mejar Noorizan Bin Zahiran yang merupakan seorang senior Fisioterapi yang juga berpengalaman luas dalam memberi khidmat locum. Seterusnya, terdapat beberapa sesi lain seperti sesi soal jawab serta sesi kuiz bagi membantu pelajar Fisioterapi untuk lebih mendalami dan memahami bidang ini. Setiap sesi yang dijalankan telah diselia oleh moderator program bagi memastikan setiap sesi berjalan dengan lancar.

Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberi idea serta pencerahan kepada pelajar khususnya pelajar Sisioterapi tentang apakah itu perkhidmatan locum dan persediaan yang harus diambil sebelum menjalankan perkhidmatan locum. Selain itu, perlaksanaan program ini juga adalah untuk membantu pelajar mengenal pasti nilai serta etika yang perlu dititikberatkan semasa menjalankan perkhidmatan ini sekaligus membawa matlamat untuk menambah ilmu pengetahuan pelajar tentang cara pemasaran berkesan bagi mempromosikan diri dalam bidang ini.

Akhir kalam, kemudahan yang sedia ada iaitu medium atas talian hendaklah digunakan secara menyeluruh demi mancapai matlamat walaupun pelbagai onak dan duri melanda.