Bukit Mertajam, 25 Oktober 2024 – Program PG-Bowling Day 2024 anjuran Persatuan Pelajar Pascasiswazah Kejuruteraan Awam (ACEP) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah berlangsung dengan penuh meriah di Ole-Ole Bowling, Mydin Mall, Bukit Mertajam. Program pertandingan boling ini melibatkan penyertaan seramai 20 peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah (penyelidikan), penyelia serta staf Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTMCPP. Tujuan utama PG-Bowling Day 2024 ini diadakan adalah sebagai inisiatif untuk mengeratkan silaturrahim antara komuniti pelajar pascasiswazah dan staf PKA UiTMCPP.
Selain itu, PG-Bowling Day 2024 turut bertujuan menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar, penyelia dan staf akademik. Aktiviti seperti ini bukan sahaja berjaya menunjukkan kemahiran mereka di lorong boling, malah dapat mencipta ruang santai dan beriadah dengan rakan-rakan sepasukan dan penyelia mereka.
Kemuncak kejayaan program ini tidak akan lengkap tanpa sokongan rakan industri strategik, THB Maintenance Sdn Bhd, yang berbesar hati menjadi penaja utama. Dengan jumlah tajaan bernilai hampir RM2000, THB Maintenance telah menyumbang hadiah kepada pemenang dan para peserta sekali gus memberikan suntikan semangat kepada semua yang terlibat.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang yang mencatat jatuhan pin tertinggi, serta kepada semua ahli jawatankuasa program terdiri daripada pelajar-pelajar pascasiswazah ACEP yang telah berusaha gigih untuk menjayakan PG-Bowling Day 2024. Penghargaan tulus juga ditujukan kepada pihak pengurusan tertinggi PKA UiTMCPP atas sokongan penuh yang diberikan dalam menjayakan acara ini. Kejayaan PG-Bowling Day 2024 diharapkan akan menjadi inspirasi untuk diteruskan pada masa akan datang dalam usaha membina ikatan lebih erat antara pelajar pascasiswazah dan staf UiTMCPP serta mewujudkan ruang kerjasama strategik antara industri dan akademia.
Penulis Bersama: Ts Dr Mohd Ikmal Fazlan Rozli@Rosli