BANDAR JENGKA – Sempena meraikan pelajar-pelajar sekolah pada musim cuti persekolahan yang lalu, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dan Pusat Pengajian Sains Gunaan (FSG) Universiti Teknologi MARA, Cawangan Pahang (UiTMCPh) telah menganjurkan Program Al-Masjid Fii Qalbi – Kids Love Masjid. Program untuk 169 orang pelajar sekolah berumur 9 – 13 tahun ini, telah diadakan bertempat di Pusat Islam Uwais Al-Qarni, UiTMCPh, Kampus Jengka.
Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memenuhi waktu cuti sekolah pelajar dengan program yang bermanfaat seperti menyemai pokok, latihan dalam kumpulan, mengenal personaliti para peserta dan menjalani aktiviti-aktiviti yang berteraskan sunnah Rasulullah SAW seperti memanah dan berkuda.
Aktiviti memanah diadakan di Lapang Sasar Memanah UiTMCPh dimana 169 pelajar tersebut telah dibahagikan kepada 5 kumpulan. Permulaan aktiviti dimulakan dengan taklimat keselamatan diikuti dengan demo 4 pemanah Pusat Latihan Negeri (PLN) UiTMCPh yang memanah kategori standard bow, recurve bow, compound bow dan soft archery.
Antara yang memberi taklimat adalah Presiden Persatuan Memanah Negeri Pahang (PMNP), Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad, wakil ibubapa, Cikgu Hairul Nizan Mat Isa, Jurulatih PLN UiTMCPh, Muhammad Aman Mohammad Zahir dan pegawai Unit Sukan UiTMCPh, Encik Mukhriz Mohamed. Selain itu, pemanah UiTM, pensyarah FSG serta pensyarah Fakulti Perakaunan (FPN) turut hadir membantu.
Penganjuran aktiviti ini telah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti. Ianya selaras dengan SDG3 dan SDG4 di mana sekolah-sekolah di Bandar Jengka dan UiTM dapat mengukuhkan misi jangka sederhana dan panjang, agar dapat berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranan hanya sebagai pusat penyebaran ilmu.
Diharapkan aktiviti memanah ini dapat memberikan kepuasan yang optimum kepada para peserta dan dapat menanam minat mereka dalam sukan memanah kelak. Kem cuti sekolah sebegini juga perlulah diteruskan agar para peserta juga dapat memenuhkan waktu cuti sekolah dengan aktiviti yang bermanfaat bersama kenalan baru.