Peserta dari 11 universiti sertai program kayuhan prihatin

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama para peserta program kayuhan prihatin menikmati kenduri buah-buahan tempatan di Kampung Padang Siding, Pauh, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN ONLINE

ARAU 25 Julai – Para peserta dari 11 universiti dari negara ini, Indonesia dan Thailand telah mengambil bahagian dalam program kayuhan prihatin bersempena Karnival Varsiti Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) ke-20, di sini semalam.

Mereka yang menyertai kayuhan itu mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi kayuhan sejauh 10 kilometer yang bermula dan berakhir di Masjid Al-Masyhoor di Kampung Padang Siding, Pauh di sini.

Keberangkatan baginda sebelum itu disambut oleh Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan negeri, Zailuddin Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Hadir sama ialah Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang turut menyampaikan beberapa siri tazkirah pendek sepanjang persinggahan dan di akhir program.

Program projek Diraja Perlis itu adalah anjuran bersama UiTM Cawangan negeri, MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-54 bagi tahun ini.

Sebanyak 11 buah universiti yang menghantar wakil ke kayuhan tersebut ialah Universiti Malaysia Perlis (Unimap); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UiTM Perlis.

Universiti dari Thailand pula ialah Prince of Songkhla University; Thaksin University; Walailak University; dan Rajamangala University of Technology Srivijaya.

Indonesia pula menghantar peserta dari Universitas Negeri Medan; Universitas Sumatera Utara; dan Universitas Syiah Kuala.

Karnival selama 7 hari yang dihoskan oleh UiTM Perlis itu akan berakhir pada Khamis ini.- UTUSAN ONLINE

 

Oleh: Mohd. Hafiz Abd. Mutalib
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/peserta-dari-11-universiti-sertai-program-kayuhan-prihatin-1.715990#ixzz5MJtOcqUv
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0